Halaman

Selasa, 1 Disember 2009

JIM: Najib perlu adil agih royalti petrol

Abdul Rahim Sabri


Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak digesa untuk "bersikap adil" berhubung pemberian royalti minyak kepada kerajaan Kelantan bagi mengelak isu doa laknat menteri besar Kelantan.

Pertubuhan Jamaah Islah Malaysia (JIM) menyeru Najib agar memastikan negeri itu juga menerima royalti berdasarkan peruntukan Akta Pembangunan Petroleum 1974.

"Perdana menteri harus mengambil tindakan segera untuk memastikan Kelantan mendapat haknya.

"Perlu adil kepada Kelantan, seperti mana Terengganu, Sabah dan Sarawak dapat," kata Presiden JIM Zaid Kamaruddin kepada Malaysiakini petang ini.

Zaid diminta mengulas tindakan Datuk Nik Aziz Nik Mat yang ingin berdoa agar memusnahkan masa depan Najib dan Umno jika kerajaan pusat enggan memberi royalti minyak kepada negeri itu.

Nik Aziz, yang juga mursyidul am PAS, turut dilaporkan menjelaskan doa yang dimaksudkan itu hanya meminta Allah memperbetulkan fikiran Najib iaitu memberikan royalti gas dan petrol kepada Kelantan.

Tambahnya, jika kerajaan persekutuan tidak memberi royalti tersebut, tindakan tersebut bermakna Najib mempunyai niat yang tidak baik.

"Niat tak baik itulah yang saya minta dilaknatkan Tuhan...," Nik Aziz dipetik sebagai berkata semalam.

Mengulas lanjut, Zaid berkata tindakan tokoh PAS itu satu "perkara yang serius".

Bagaimanapun, beliau enggan mengulas sama ada tindakan itu bertentangan dengan Islam atau tidak.

Sementara itu, seorang ilmuwan Islam turut menegur Najib agar bersikap adil dengan mengikut segala perjanjian yang dimeterai dan "menunaikan amanah".

"Datuk Nik Aziz juga harus bermuamalat (berurusan) dengan baik dengan pemerintah. Kalau boleh, mendoakannya (laknat) secara umum, dan tidak khusus kepada sesiapa.

"Menyebut (laknat) secara khusus (nama individu) dilarang dan tidak dianjurkan di dalam Islam," katanya, calon ijazah kedoktoran di sebuah universiti, yang enggan disebut nama.

Dengan memberi contoh, beliau berkata, Nabi Muhammad pernah memohon kepada Allah agar melaknat satu kabilah yang menipu baginda dalam peristiwa Bi'r al-Ma'unah atau insiden pembunuhan 70 sahabat yang diutuskan untuk berdakwah.

Sementara satu lagi insiden, sewaktu baginda dibaling batu oleh penduduk Taif, di selatan Mekah, Nabi Muhammad tidak mendoakan agar mereka ditimpa laknat dengan alasan belum menerima hidayah Allah, tambah ilmuan hadis itu.

"(Sejarah) ini bermakna, kita tidak boleh kata, tidak semua boleh dilaknat. Dan kita tidak boleh kata, tidak ada langsung (doa laknat)," katanya.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan

Nota: Hanya ahli blog ini sahaja yang boleh mencatat ulasan.