BERNAMA
Kerajaan Selangor akan menganjurkan satu forum awam yang akan membincangkan isu mengenai kursus-kursus yang disediakan
oleh Biro Tatanegara (BTN), dalam usaha memberikan penjelasan lebih terperinci mengenai keputusannya mengharamkan program itu kepada para petugas kerajaan negeri, kata menteri besar.
Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim berkata beliau memutuskan untuk mengadakan forum itu selepas menerima kritikan daripada beberapa pihak seperti pemimpin-pemimpin Umno dan menteri-menteri kabinet, ekoran tindakan kerajaan negeri menghalang para
petugasnya daripada menjalani kursus yang disediakan BTN.
Beliau berkata bekas peserta, pensyarah dan juga penganjur program-program BTN akan dijemput untuk memberikan pandangan mereka dalam forum itu nanti, dalam usaha menentukan sekiranya langkah pengharaman oleh kerajaan negeri itu adalah tepat atau sebaliknya.
"Sekiranya kerajaan pusat cuba mengharamkan forum ini, ia bermakna memang ada sesuatu yang tidak kena," katanya kepada pemberita selepas merasmikan persidangan antarabangsa mengenai pembugaran kota di Petaling Jaya hari ini.
Rabu lepas pengerusi Jawatankuasa Tetap Pendidikan, Pengajian Tinggi dan Pembangunan Sumber Manusia Selangor Dr Halimah Ali berkata petugas kerajaan Selangor serta para pelajar institusi pengajian milik kerajaan negeri tidak dibenarkan menjalani kursus-kursus BTN berkuatkuasa serta-merta.
Langkah itu diambil selepas kerajaan negeri melihat kursus berkenaan sebagai satu proses indoktrinasi oleh kerajaan BN bagi mewujudkan rasa benci terhadap pembangkang.
Tindakan itu mengundang jawapan balas timbalan perdana menteri yang juga Menteri Pelajaran Tan Sri Muhyiddin Yassin, serta anggot kabinet lain seperti Menteri Pertahanan Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi, dan Menteri Pembangunan Wanita Keluarga dan Masyarakat, Datuk Seri Shahrizat Abdul Jalil yang tampil mempertahankan kursus BTN itu.
Sementara itu Khalid berkata beliau berpuas hati apabila ketika ini rata-rata kalangan orang ramai mulai membincangkan mengenai kualiti dan nilai kursus-kursus BTN, dan menurutnya beliau tidak pernah membantah sebarang program yang bertujuan menyemai semangat nasionalisme dan patriotisme di kalangan rakyat.
"Apa yang kami pertikaikan ialah kandungan serta penyampaian program BTN ini, dan sejak akhir-akhir ini kandungannya dikatakan mulai berat sebelah, di samping tidak mencapai objektif untuk menyatukan seluruh rakyat Malaysia," katanya.
Beliau berkata sudah tiba masanya, bukan hanya sukatan kursus BTN sahaja yang didedahkan kepada umum, malah latar belakang seperti kelayakan para pensyarah kursus itu sendiri perlu diumumkan kepada orang ramai.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan
Nota: Hanya ahli blog ini sahaja yang boleh mencatat ulasan.