Halaman

Rabu, 2 Disember 2009

KDNK negara turun dua peratus

SINAR HARIAN ONLINE


SEREMBAN - Negara mengalami kerugian hasil dalam pertumbuhan Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) sebanyak dua peratus berikutan kes kecederaan dan maut akibat kemalangan jalan raya.

Menteri Pengangkutan, Datuk Seri Ong Tee Keat berkata, jumlah itu dianggarkan bernilai RM9 bilion setahun berdasarkan perangkaan bagi 2008 yang menunjukkan kempen keselamatan jalan raya sebenarnya memberi kesan kepada pertumbuhan ekonomi negara.

“Kerugian pada negara hasil daripada kes injuri dan maut akibat kemalangan jalan raya ialah pengurangan pertumbuhan KDNK sebanyak RM9 bilion daripada 528 bilion iaitu sebanyak dua peratus, berdasarkan perangkaan tahun 2008.

“Ini bermakna, kejayaan agenda keselamatan jalan raya boleh menyumbang dua peratus pertumbuhan ekonomi negara setiap tahun,” katanya.

Selaras dengan itu katanya, pelaksanaan Pelan Keselamatan Jalan Raya Malaysia 2006-2010 yang menyasarkan pengurangan sebanyak 50 peratus bilangan kematian perlu dijayakan bersama semua pihak.

“Pelan ini menggariskan sembilan strategi dan 52 program yang boleh dilaksanakan oleh pelbagai agensi sebagai ‘stakeholder’ bagi menjayakan agenda keselamatan jalan raya kebangsaan.

“Ini termasuk kempen meningkatkan penggunaan topi keledar dengan kemas, selain merubah budaya pemanduan yang lebih cermat,” katanya ketika merasmikan Mesyuarat Agung Tahunan Majlis Keselamatan Jalan Raya Malaysia (MKJR) Kali Ke-50 di Royal Bintang Resort & Spa di sini, semalam.

Teks ucapan beliau dibacakan Timbalan Ketua Setiausaha (Operasi) Kementerian Pengangkutan, Datuk Yap Kin Sian.

Hadir sama, Exco Infrastruktur, Air, Tenaga dan Telekomunikasi negeri, Datuk Ismail Lasim yang juga Pengerusi MKJR Negeri Sembilan; Ketua Pengarah Keselamatan Jalan Raya Malaysia, Datuk Surej Singh dan Ketua Pengarah Institut Penyelidikan Keselamatan Jalan Raya Malaysia (Miros), Prof Dr Ahmad Farhan Mohd Sadullah.

Tee Keat berkata, berdasarkan rekod kempen yang dianjurkan MKJR, setakat ini terbukti mampu mengurangkan jumlah kes kecederaan sebanyak 40.3 peratus bagi tempoh lima tahun.

“Ia melibatkan penurunan ketara daripada 54,091 kes bagi tahun 2004 kepada 32,000 kes pada tahun 2008.

“MKJR merupakan platform yang baik bagi menyelaraskan aktiviti badan-badan bukan kerajaan dan syarikat swasta untuk menjalankan program keselamatan jalan raya secara bersepadu, baik daripada aspek pendidikan pengguna, mahupun dari segi penguatkuasaan kendiri,” katanya.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan

Nota: Hanya ahli blog ini sahaja yang boleh mencatat ulasan.