Athi Shankar
S Banggarma, yang ingin meninggalkan identiti Islamnya, menghantar surat kepada Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) menuntut bukti bahawa beliau telah diislamkan pada 30 November 1983 di Rompin, Pahang.
Peguamnya Gooi Hsiao Leung berkata, dalam surat bertarikh 25 Disember lalu, Banggarma menuntut Ketua Pengarah JKM Datuk Meme Zainal Rashid supaya menyerahkan surat persetujuan pengislaman daripada ibu bapa kepada anak guamnya seperti didakwa.
Gooi berkata, Banggarma juga menuntut ditunjukkan arahan mahkamah bawah Akta Mahkamah Juvana 1947 yang memerintahkannya ditempatkan di Rumah Kanak Kanak Taman Bakti di Kepala Batas.
"Kami turut menuntut semua dokumen yang berkaitan bagi menguatkan dakwaan ketua pengarah (Meme) bahawa Banggarma diislamkan oleh ibu bapanya sendiri dan bukan oleh rumah kebajikan (itu)," katanya kepada Malaysiakini hari ini.
Difahamkan JKM telah menerima surat tersebut. Bagaimanapun, usaha mendapatkan ulasan Meme setakat ini belum berhasil.
Banggarma, atau nama Islamnya Siti Hasnah Vangarama Abdullah, sebelum ini mendakwa diislamkan tanpa sedar pada 28 Disember 1989 oleh pihak rumah kebajikan itu ketika berumur tujuh tahun.
Ibu kepada dua anak itu menyangkal dakwaan Meme bahawa beliau diislamkan pada 1983 oleh bapanya sendiri yang beragama Hindu, B Subramaniam, seorang pekerja ladang.
Dihubungi hari ini, Gooi berkata, anak guamnya kini bersedia memanjangkan perkara tersebut ke muka pengadilan supaya mahkamah mengisytiharkan bahawa pengislamannya sebagai tidak sah.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan
Nota: Hanya ahli blog ini sahaja yang boleh mencatat ulasan.