Oleh HATA WAHARI
KUALA LUMPUR - Laporan siasatan tanah runtuh di Bukit Antarabangsa pada 6 Disember 2008 diserahkan kepada kerajaan Selangor dan Majlis Perbandaran Ampang Jaya (MPAJ) bagi membolehkan penduduk di kawasan itu mengetahui status hartanah masing-masing.
Menteri Kerja Raya, Datuk Shaziman Abu Mansor berkata, nota Kabinet yang dikepilkan bersama, jelas menggariskan beberapa panduan iaitu hanya digunakan oleh pemilik yang sah untuk mengetahui status tanah dan hartanah mereka di kawasan tersebut.
''Kementerian mencadangkan kepada Kabinet supaya laporan itu dikeluarkan untuk mereka yang berkepentingan seperti penduduk di Bukit Antarabangsa iaitu mereka yang ada tanah dan rumah, mereka ini boleh tanya dengan MPAJ.
''Tiada niat suruh laporan itu didedahkan kepada orang ramai, siapa ada kepentingan boleh tanyalah, itu sangat jelas dalam nota Kabinet, tiada niat sorok daripada pengetahuan penduduk di kawasan tersebut,'' katanya.
Beliau berkata demikian kepada pemberita ketika ditemui selepas menerima taklimat mengenai usaha menyelesaikan masalah kesesakan di kawasan Rawang terutama membabitkan 37,000 kenderaan yang menggunakan Lebuh Raya Utara Selatan setiap hari di Kawasan Rehat dan Rawat (R&R) Plaza Tol Rawang dekat sini hari ini.
Shaziman mengulas mengenai laporan siasatan itu yang boleh diperoleh di Internet selepas salinannya diserahkan kepada MPAJ dan kerajaan Selangor.
''Laporan siasatan itu semasa dipegang oleh kementerian tak pernah pun masuk Internet, tak pernah pun keluar, tapi apabila laporan itu kita lulus sahaja di Kabinet, kita setuju nak hantar pada MPAJ, tiba-tiba saja menjadi popular dan sebagainya,'' katanya.
Shaziman menegaskan, beliau tidak mahu menuduh mana-mana pihak mengenai hal tersebut.
Menurutnya, laporan itu dibuat dan diserahkan kepada MPAJ bertujuan memberitahu mengenai tindakan yang perlu diambil supaya kejadian tanah runtuh dapat dihindari pada masa akan datang.
Beliau memberitahu, beliau akan mendapatkan pandangan penasihat undang-undang sama ada perlu atau tidak membuat laporan polis berikutan pendedahan laporan siasatan itu yang diklasifikasikan di bahawa Akta Rahsia Rasmi.
Beliau menambah, pendedahan laporan siasatan itu juga menimbulkan masalah apabila ada pihak cuba mempolitikkan hal ini malah yang tiada kaitan pun melibatkan diri dalam hal tersebut.
Sementara itu, beliau mempertimbangkan permohonan MPAJ yang mahu Kerajaan Pusat mengubah status rahsia laporan siasatan tersebut.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan