BERITA HARIAN ONLINE
KUALA LUMPUR: Solidariti Mahasiswa Malaysia (SMM) akan memboikot pakatan pembangkang khususnya Pas dan Parti Keadilan Rakyat (PKR) dalam pilihan raya akan datang sekiranya parti terbabit tidak berpegang pada prinsip demokrasi dan keadilan yang diperjuangkan sebelum ini.
Pengerusinya, Mohd Shazni Munir Mohd Ithnin, berkata Pas dan PKR perlu membuat penentuan semula sikap mereka terhadap hak rakyat untuk berhimpun secara aman tanpa gangguan polis .
"Kita melihat banyak kepincangan yang berlaku dalam perjuangan demokrasi dan keadilan diagungkan pakatan pembangkang dewasa ini. Laporan polis yang dilakukan pimpinan Dewan Pemuda Pas Kelantan dan Naib Ketua Angkatan Muda PKR Pulau Pinang, Ahmad Azrizal Tahir mengundang pelbagai tindak balas negatif mula meragui kejujuran mereka memperjuangkan kebebasan bersuara.
"Jika mereka mahukan sokongan generasi muda terutama mahasiswa dianggarkan sejuta dalam Pilihan Raya Umum Ke-13 mereka perlu menjalankan janji mereka dalam memastikan suara rakyat dapat didengar. Kami menggesa supaya tuntutan ini dapat diambil tindakan perubahan yang agresif oleh ahli dan kepemimpinan Dewan Pemuda Pas dan Angkatan Muda Keadilan (PKR)," katanya pada sidang media di sini, semalam.
Beliau berkata, mahasiswa juga meminta supaya kepemimpinan pemuda kedua-dua parti ini mengetepikan ego dan tidak bersikap sombong dalam mengambil pandangan rakyat khususnya golongan muda yang cenderung untuk melihat kesejahteraan rakyat.
"Pakatan pembangkang sering kali mencanang rakyat perlu diberi hak berhimpun secara aman tanpa gangguan polis tetapi bertindak sebaliknya apabila 'terkena batang hidung' mereka sendiri," katanya.
SMM mempunyai 5,000 ahli dengan dianggotai Gabungan Mahasiswa Islam Se-Malaysia, Pro Mahasiswa Nasional, Gerakan Demokratik Belia dan Pelajar Malaysia, Jawatankuasa Kebajikan Mahasiswa dan Mahasiswi, Kelab Rakan Siswa Islah Malaysia, Kumpulan Aktivis Mahasiswa Independen dan Persatuan Kebangsaan Pelajar Islam Malaysia.
Sementara itu, Presiden Kumpulan Aktivis Mahasiswa Independen, Muhammad Hilman Idham, berkata pihaknya menuntut Pas dan PKR menarik balik semua laporan polis dibuat selain memohon maaf secara terbuka di atas ketidakjujuran mereka memperjuangkan prinsip demokrasi.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan