SINAR HARIAN ONLINE
SHAH ALAM- Kesalahan bagi perbuatan sihir sukar disabitkan kerana amalan berkenaan abstrak dan tidak boleh dibuktikan oleh pancaindera.
Presiden Persatuan Peguam Syarie Malaysia (PGSM), Mohd Isa Abd Ralip berkata, cadangan supaya mewujudkan undang-undang sihir untuk mencegah amalan itu dilihat satu cadangan yang ideal.
“Ia perlu untuk mencegah perbuatan itu daripada berleluasa tetapi yang menjadi persoalan sekarang bagaimana kita hendak membuktikan kesalahan itu kerana ilmu sihir sukar dibuktikan di mahkamah kerana amalan ini abstrak dan tidak boleh dibuktikan oleh pancaindera.
“Jadi macam mana kita hendak sabitkan pesalah tersebut?,” katanya kepada Sinar Harian, semalam.
Menurutnya, ketika ini pengamal dan pihak yang mengarahkan sihir itu dilakukan terlepas daripada hukuman kerana tiada peruntukan undang-undang berkaitan.
Dalam pada itu, Setiausaha Persatuan Pengguna Islam Malaysia (PPIM), Datuk Dr Ma’amor Osman berkata walaupun pengamal ilmu hitam itu boleh disabitkan dengan undang-undang takzir, iaitu bentuk hukuman ikut budi bicara hakim tetapi bukti untuk mengaitkan perbuatan itu sukar dibuat.
“Walaupun pengamal ilmu itu mempunyai peralatan khas persoalannya sekarang bagaimana kita hendak pastikan dia melakukan perbuatan itu dan melakukan perkara itu kepada orang lain,” katanya.
Dr Ma’amor berkata, masyarakat perlu dididik supaya tidak terjebak dalam amalan tersebut.
“Kita tahu sihir itu haram jadi saya fikir ia salah satu cara untuk membendung amalan itu terutamanya di kalangan orang Melayu di negara ini,” katanya.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan