HALAMAN SANTAI

Isnin, 21 Disember 2009

Tidak ikut prosedur: Wakil tetap PBB dipanggil pulang

UTUSAN ONLINE


KUALA LUMPUR - Wakil Tetap Malaysia ke Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu (PBB), Datuk Mohd. Arshad M. Hussain dipanggil pulang untuk memberi penjelasan mengapa beliau mengundi menentang resolusi Agensi Tenaga Atom Antarabangsa (IAEA) terhadap program nuklear Iran tanpa mendapat lampu hijau Wisma Putra.

Timbalan Menteri Luar, Senator A. Kohilan Pillay berkata, tindakan ke atas wakil tetap negara itu tiada kaitan dengan desas-desus kononnya Malaysia menyokong resolusi berkenaan.

Beliau berkata, wakil tetap itu perlu mengikut prosedur dengan memaklumkan kepada kementerian terlebih dahulu mengenai pengundian tersebut.

Pada pengundian tersebut, Malaysia bersama Cuba dan Venezuela mengundi menentang resolusi berkaitan isu nuklear di Iran manakala enam negara lain berkecuali.

"Tidak timbul ada blok negara-negara yang menentang AS kerana hanya secara kebetulan Malaysia bersama Venezuela dan Cuba turut menentang resolusi itu.

"Tindakan memanggil wakil tetap itu pulang ialah untuk mendengar penjelasannya di samping kes itu dijadikan sebagai pengajaran kepada pegawai lain," katanya kepada pemberita di sini hari ini.

Beliau berkata demikian selepas merasmikan Kempen Kurangkan Pengambilan Gula dan Pengguna Bijak anjuran Persatuan Gerak Wanita Malaysia dan Kementerian Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan di sini hari ini.

Beliau menjelaskan isu yang dibangkitkan oleh bekas Perdana Menteri, Tun Dr. Mahathir Mohamad dalam blognya http://chedet.co.cc mengenai langkah kerajaan memanggil pulang wakil tetap itu yang tidak menyokong AS.

Dr. Mahathir berkata, jika dahulu Malaysia mempertahankan negara-negara yang ditindas AS tetapi apa yang berlaku sekarang kerajaan menyokong kuasa besar itu menindas Iran yang kononnya hendak membuat senjata nuklear dan seterusnya mengancam dunia dengan perang nuklear.

Kohilan menambah, walaupun AS menjalin hubungan baik dengan Malaysia, namun dasar luar negara tetap menentang keras penggunaan senjata nuklear oleh mana-mana negara.

Beliau menambah, hubungan baik antara Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak dan Presiden AS, Barack Obama sejak kebelakangan ini telah menghasilkan perbincangan yang positif.

Katanya, Obama mengiktiraf peranan Malaysia dalam Pertubuhan Persidangan Islam (OIC) yang banyak mengendalikan isu-isu antarabangsa.

Selain itu kata Kohilan, Obama juga meminta negara-negara lain mencontohi kejayaan yang dicapai Malaysia yang turut membawa kesejahteraan dan keselamatan di rantau ini.

Tiada ulasan: