Oleh NORILA DAUD
SUBANG - Pelaksanaan dua harga petrol untuk rakyat tempatan dan bukan warganegara akan bermula 1 Mei ini bagi memastikan bantuan subsidi bahan api itu sampai kepada golongan sasaran.
Menteri Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan (KPDNKK), Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata, harga petrol subsidi hanya diberikan kepada rakyat tempatan yang menggunakan kenderaan mengikut kapasiti enjin yang ditetapkan.
Menurutnya, bagi rakyat tempatan yang enjin kenderaan mereka melebihi had kapasiti yang ditetapkan, golongan itu akan membayar harga petrol mengikut harga pam tanpa subsidi.
"Subsidi petrol akan dikekalkan walaupun selepas 1 Mei untuk kumpulan sasaran iaitu warganegara yang berpendapatan rendah dengan menggunakan MyKad.
"Berbanding hari ini, rakyat tempatan dan bukan warganegara yang memasuki negara ini menikmati harga subsidi petrol," katanya pada sidang akhbar selepas majlis memperkenalkan identiti korporat baru bahagian minuman ringan Fraser & Neave Holdings di sini hari ini.
Menurutnya, harga petrol untuk bukan warganegara mungkin akan dikenakan cukai yang akan ditentukan Kementerian Kewangan.
Bagaimanapun katanya, sekiranya harga petrol dunia naik selepas ini, maka subsidi sebanyak 30 sen seliter yang diberikan kerajaan hari ini akan dikaji semula.
Ditanya kemungkinan MyKad disalahgunakan oleh warganegara dalam pembelian petrol selepas Mei ini, Ismail Sabri berkata, mereka boleh menipu dengan apa cara sekalipun, tetapi setiap pengguna yang layak akan dihadkan jumlah pembelian petrol.
Beliau memberitahu, di negara lain tidak berlaku penetapan dua harga petrol kerana tiada subsidi diberikan.
Katanya, harga petrol RON95 di Malaysia kini ialah RM1.80 sen seliter manakala tanpa subsidi RM2.10 seliter.
Di Thailand jelasnya, harganya adalah sama untuk semua golongan iaitu RM3.80 seliter.
Beliau juga memberitahu, kerajaan masih mengekalkan bantuan subsidi untuk gula, tepung gandum, minyak masak, petrol, diesel dan gas untuk memasak.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan