HALAMAN SANTAI

Rabu, 6 Januari 2010

Jangan beri jawapan 'masih dikaji', 'masih disiasat'

BERNAMA


KUALA LUMPUR - Ketua Setiausaha Negara, Tan Sri Mohd Sidek Hassan menegaskan perlunya perkhidmatan kerajaan bertindak segera terhadap aduan orang ramai selaras dengan citarasa pelanggan yang sentiasa inginkan respons terpantas.

“Kita tidak boleh lagi bagi jawapan 'masih dikaji' atau 'masih disiasat' sebagai alasan kepada aduan mereka.

“Kalau boleh, kita nak, sesuatu aduan itu dibuat tindakan dalam masa satu hari atau satu jam, bukan lagi satu minggu atau satu bulan,” katanya kepada pemberita selepas melancarkan pusat panggilan setempat DBKL di sini, semalam.

Mohd Sidek berkata kewujudan pusat itu dilihat mampu menepati citarasa pelanggan yang sentiasa inginkan perkhidmatan terbaik.

Pusat panggilan itu boleh dihubungi di talian 1-800-88-3255 dan dikendalikan oleh 21 petugas yang terlatih serta beroperasi di Tingkat 1, Menara DBKL 2, Jalan Raja Laut.

“Ia beroperasi 24 jam termasuk cuti hujung minggu dan hari kelepasan am. Selepas jam 5 petang hingga 8 pagi pada hari-hari bekerja serta pada cuti hujung minggu dan hari kelepasam am, hanya aduan berbentuk kecemasan,” katanya.

Tiada ulasan: