BERNAMA
Kementerian Dalam Negeri hari ini mengemukakan permohonan bagi penangguhan perintah Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur yang
membenarkan sebuah majalah mingguan Katholik menggunakan perkataan Allah.
Permohonan itu difailkan di pejabat pendaftar Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur.
Semalam, kementerian itu mengemukakan rayuan di Mahkamah Rayuan terhadap keputusan Hakim Mahkamah Tinggi Datuk Lau Bee Lan pada 31 Dis lepas bahawa berdasarkan Perkara 11 dan 12 dalam Perlembagaan Persekutuan, majalah Herald berhak menggunakan perkataan itu untuk tujuan tunjuk ajar dan pendidikan bagi penganut agama Kristian.
Keputusan itu dibuat ekoran permohonan semakan kehakiman yang dibuat oleh ketua biskop Tan Sri Murphy Pakiam pada 16 Feb 2009 mengenai penggunaan perkataan "Allah" dalam Herald dengan mendakwa bahawa perkataan "Allah" bukannya hak mutlak agama Islam.
Beliau menamakan Kementerian Dalam Negeri dan kerajaan sebagai responden.
Kementerian Dalam Negeri menjelaskan bahawa larangan penggunaan perkataan "Allah" oleh majalah itu adalah untuk kepentingan keselamatan awam dan bagi mengelak salah faham dan kekeliruan dalam kalangan umat Islam.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan