Oleh WAHIDA ASRANI
PETALING JAYA: "Kalau saya mengaku sudah berkahwin pun, mereka (penguatkuasa) tidak akan percaya. Sebab itu saya mengaku salah saja," kata usahawan kosmetik terkenal, Datuk Sosilawati Lawiya berhubung dakwaan dia ditangkap berkhalwat pada malam tahun baru, kelmarin.
Serbuan khalwat itu dilakukan di Astana Damansara Kondominium di sini setelah mendapat aduan daripada masyarakat sekeliling.
Menurut sumber yang menghubungi mStar Online, serbuan itu dilakukan oleh pihak Masjid Kolej UIA yang diberi tauliah penguatkuasaan mencegah maksiat dan khalwat oleh Jabatan Agama Islam Selangor (JAIS)sekitar pukul 12.30 tengah malam.
Sosilawati dan pasangannya, seorang duda beranak tiga dilaporkan mengaku bersalah dan meminta maaf kepada penguatkuasa kerana berada dalam keadaan yang boleh disyaki berkhalwat.
Sosilawati ketika itu memberi alasan beliau telah singgah ke kondo sewaan teman lelakinya itu selepas keluar makan malam untuk berbincang mengenai majlis perkahwinan yang dirancang berlangsung pada minggu hadapan.
Namun, dalam sebuah akhbar tabloid hari ini, Sosilawati menafikan beliau berkhalwat dan membuat pengakuan mereka sebenarnya sudah pun berkahwin di luar negara. Tetapi pada malam kejadian, beliau gagal menunjukkan surat nikah.
"Saya berada di rumah itu kerana ingin berbincang tentang majlis persandingan kami. Pada malam itu, ketika serbuan dibuat, mereka tidak pun bertanyakan pasal surat nikah. Saya pun tidak cakap kepada mereka bahawa kami sudah berkahwin kerana kalau cakap pun, saya tidak ada bukti kerana surat nikah berada di rumah saya.
"Kalau betul saya ditangkap berkhalwat, pasti mereka akan tahan saya dan bawa ke pejabat agama. Tetapi mereka hanya mengeluarkan surat untuk saya pergi ke sesi kaunseling," ujar Sosilawati ketika dihubungi mStar Online, hari ini.
Ketika ditanya pandangannya tentang kenyataan penguatkuasa yang mempunyai bukti kukuh bahawa mereka memang berkhalwat, Sosilawati tetap menegaskan bahawa isu khalwat tidak timbul langsung kerana dia dan pasangannya sudah sah bergelar suami isteri.
"Perkara ini saya serahkan kepada peguam saya dan apa yang boleh saya katakan, perkahwinan kami sah dari segi agama. Cuma, saya tidak mendaftarkannya di Malaysia. Apapun, saya akan tunjukkan surat nikah itu nanti ketika hadir di mahkamah untuk sesi motivasi kelak," katanya yang enggan mendedahkan tarikh dan lokasi pernikahannya berlangsung.
Ditanya bilakah majlis persandingan itu akan berlangsung, Sosilawati dalam nada ringkas berkata:
"Bila dah jadi macam ni, saya rasa tak jadilah kami nak bersanding."
Beliau juga enggan mengulas lanjut tentang suami barunya itu.
"Nantilah...bila semuanya selesai, saya akan cakap. Saya akui, dia adalah duda beranak tiga, tapi bukanlah berketurunan Indonesia seperti yang dilaporkan. Dia adalah lelaki tempatan."
Dalam pada itu, ditanya mengapa pernikahan itu dirahsiakan, kata Sosilawati, beliau mempunyai sebab-sebab tertentu mengapa ia dilangsungkan secara 'diam-diam'. Malah, beliau juga tidak memaklumkan pernikahan itu kepada keluarga dan anak-anaknya.
"Saya memang tidak mahu perkahwinan saya mendapat publisiti meluas apatah lagi ini adalah perkahwinan ketiga saya. Saya akui, anak-anak dan ahli keluarga memang tidak mengetahui langsung tentang perkahwinan saya.
"Tapi bila sudah keluar di akhbar tentang perkara ini, saya rasa mereka pasti sudah tahu. Cuma saya belum lagi berkesempatan untuk bertemu anak-anak dan jelaskan tentang perkahwinan ini," kata ibu kepada enam orang anak ini.
Ditanya adakah perkahwinan itu dibuat secara rahsia kerana tidak 'direstui' oleh anak-anaknya, jawab Sosilawati:
"Tak adalah macam tu...Saya tidak mahu merumitkan keadaan. Cukuplah saya katakan, saya pernah gagal dalam dua perkahwinan dan anak-anak pastinya tidak mahu melihat saya berdepan dengan perkara itu lagi.
"Apapun, saya kena jaga hati suami baru dan anak-anak," katanya.
Sekadar mengimbas perkahwinannya dengan Nash sebelum ini, pengasas produk kecantikan Nouvelles Visages ini berkahwin dengan bekas vokalis Lefthanded itu pada 16 November 2006 di Batu Pahat, Johor, namun bercerai talak satu pada 26 Mei 2009 selepas penyanyi berkenaan tidak lagi duduk sebumbung dengan Sosilawati
Kini mereka sedang menjalani majlis Sulh (perbincangan) kes tuntutan harta berjumlah RM1.38 juta oleh Sosilawati terhadap Nash di Mahkamah Tinggi Syariah yang masih lagi belum menemui jalan penyelesaian.
Satu lagi proses sulh akan diadakan pada 12 Januari ini.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan