Oleh Khairul Anuar Abdul Samad
JELI: Kerajaan Pusat dijangka mengadakan pertemuan dengan Petronas dalam tempoh terdekat bagi menentukan jumlah wang ihsan yang bakal disalurkan kepada Kelantan menerusi Jabatan Pembangunan Persekutuan (JPP).
Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri, Datuk Seri Mustapa Mohamed menafikan dakwaan pemimpin Pas ada pihak menerima wang ihsan RM500 seorang.
Katanya, tiga proses perlu dilakukan sebelum keputusan mengenai wang ihsan itu dicapai seperti menentukan jumlah pengeluaran minyak di kawasan terbabit; jumlah yang perlu disalurkan dan tentukan senarai projek.
“Kerajaan Pusat perlu mengadakan mesyuarat dengan Petronas mengenai wang ihsan itu dan pertemuan itu dijangka dalam sebulan ini.
“Mesyuarat itu penting bagi mendapat maklumat mengenai pengeluaran minyak, baru Kerajaan Pusat dapat menentukan jumlah wang ihsan yang layak diterima Kelantan,” katanya selepas merasmikan Program Latihan Teknikal dan Pembangunan Modal Insan Proton Bersama Komuniti Jeli, di Kolej Komuniti Cawangan Jeli, dekat sini, semalam.
Beliau berkata demikian mengulas kenyataan pemimpin Pas di Kota Bharu yang mendakwa ada pihak menerima wang ihsan RM500 seorang.
Mustapa yang juga Pengerusi Badan Perhubungan Umno negeri berkata, seperti yang diumumkan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak di Parlimen, wang ihsan itu mula diagihkan tahun ini, namun ia terpaksa melalui proses tertentu sebelum dapat dilaksanakan.
“Kerajaan Pusat perlu mengadakan perbincangan dengan Petronas terlebih dulu selain berbincang dengan kerajaan negeri mengenai projek yang akan disalurkan nanti,” katanya.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan
Nota: Hanya ahli blog ini sahaja yang boleh mencatat ulasan.