Oleh Zatul Iffah Zolkiply
AYER TAWAR: Seorang suri rumah mendakwa terpaksa menetak seorang lelaki bagi menyelamatkan dirinya daripada diperkosa di Taman Bestari di sini, pagi semalam.
Berikutan itu, mayat M Kumaran, 29, ditemui di tepi longkang berhampiran Sungai Wangi, Sitiawan, awal pagi semalam dipercayai dibawa ke situ dengan bantuan suami wanita itu.
Mayat mangsa ditemui dalam keadaan lengkap berpakaian terbaring dan cedera di kepala dan badan akibat ditetak.
Ketua Polis Daerah Manjung, Asisten Komisioner Mohd Jamil Osman, berkata sepasang suami isteri berumur 24 dan 23 tahun ditahan bagi membantu siasatan.
Katanya, pada Khamis lalu keluarga Kumaran membuat laporan mengenai kehilangan mangsa sebelum kes siasatan dibuka bagi mengesan mangsa.
Beliau berkata, dalam tempoh berkenaan, beberapa orang dipanggil bagi membantu siasatan.
“Kelmarin, sepasang suami isteri membuat laporan polis mengenai kejadian berkenaan. Ketika disoal-siasat dijalankan, wanita berkenaan mendakwa mangsa pernah datang ke rumahnya ketika suaminya tiada di rumah melalui pintu belakang.
“Wanita itu mendakwa mangsa ada melakukan perkara yang tidak senonoh terhadapnya sebelum beliau bertindak mencederakan lelaki berkenaan menggunakan parang manakala suaminya yang pulang kemudian dipercayai membantu membuang mayat berkenaan,” katanya ketika dihubungi di sini, semalam.
Mohd Jamil berkata, pasangan suami isteri yang tinggal di Taman Bestari dekat sini ditahan ketika membuat laporan polis mengenai kejadian berkenaan sebelum usaha mencari mangsa dijalankan.
Mayat mangsa dihantar ke Hospital Raja Permaisuri Bainun, Ipoh untuk bedah siasat.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan
Nota: Hanya ahli blog ini sahaja yang boleh mencatat ulasan.