Halaman

Ahad, 21 Februari 2010

Tokoh ilmuwan duduki Kursi Kepimpinan Wanita

UTUSAN ONLINE

KUALA LUMPUR - Penubuhan Kursi Kepimpinan Wanita di salah sebuah universiti tempatan adalah untuk mengembang serta meningkatkan daya kepimpinan wanita di peringkat tempatan sehingga ke antarabangsa.

Ketua Wanita UMNO, Datuk Seri Shahrizat Abdul Jalil berkata, ia boleh dicapai menerusi pendidikan, penyelidikan dan latihan yang disediakan melalui kewujudan kursi berkenaan.

Menurutnya, penyandang kursi itu akan dipilih di kalangan tokoh ilmuwan kepimpinan yang akan bertanggungjawab dalam mengembangkan ilmu seni kepimpinan wanita Malaysia.

"Ilmu seni ini akan merangkumi pemahaman urus tadbir, pengurusan strategik, pengurusan kewangan serta teknologi maklumat dan komunikasi (ICT) selain pembinaan serta pengembangan jaringan," katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap pada Konvensyen Wanita UMNO: Wanita UMNO Nadi Transformasi dan Inovasi Negara di Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC) di sini hari ini.

Menurut Shahrizat, program-program yang diatur oleh penyandang kursi akan mencakupi ilmu sistem politik di Malaysia, sistem pilihan raya, kepekaan gender dan pembuatan dasar-dasar.

Di samping itu jelasnya, penyandang Kursi Kepimpinan Wanita akan memberi kuliah di peringkat pra siswazah dan siswazah di dalam menganjurkan kursus pendek dan program latihan kepimpinan.

"Program-program ini akan melayakkan penubuhan sebuah pusat penyelidikan dan latihan untuk kepimpinan wanita dalam masa terdekat," katanya.

Dalam sidang akhbar selepas itu Shahrizat berkata, sejumlah dana akan diberikan kepada institusi yang bertanggungjawab bagi membiayai pelaksanaan program-program di bawah Kursi Kepimpinan Wanita.

"Saya difahamkan sekurang-kurangnya dana yang diperlukan adalah RM2 juta dan berkemungkinan jumlah ini akan menjadi lebih. Saya akan buat satu kertas kerja bagaimana untuk mendapatkan jumlah itu dalam masa setahun ini," katanya.

Beliau berkata, kursi itu adalah satu pelaburan dan simbol kepada usaha wanita dalam menentukan transformasi dan inovasi negara yang diterajui oleh Wanita UMNO.

"Ini adalah kursi akademik yang akan ditubuhkan di salah sebuah universiti dalam negara berdasarkan cadangan yang terbaik dari kalangan universiti.

''Jadi kita akan mula mengutip dana sebagai 'pembiayaan' pada mana-mana universiti yang akan membuat bidaan," katanya.

Untuk itu Shahrizat berkata, setiap ahli Wanita UMNO akan memberikan sumbangan mereka walaupun RM1 kerana ia adalah saham yang boleh mengangkat kepimpinan wanita Malaysia dalam arus perdana negara.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan

Nota: Hanya ahli blog ini sahaja yang boleh mencatat ulasan.