Isu Melayu Pulau Pinang tiba-tiba membuatkan ketua-ketua UMNO baik lelaki atau wanitanya menjadi ghairah untuk membangkitkannya.Masing-masing cuba menobatkan diri sebagai juara tetapi dari luar gelanggang.
Gerakan, MCA, MIC dan parti komponen lain dalam Barisan Nasional kelihatan tidak berminat pun dengan agenda ini.
Siap dengan statistik beliau buktikan jumlah wang dan penerima tender projek di 'Penang' sejak kerajaan Pakatan Rakyat memerintah. Lebih 40 kontraktor Melayu yang mendapat tender dan bakinya bukan Melayu. Keseluruhan projek berjumlah melebihi RM60 juta.
Bukan itu sahaja, belanjawan berkaitan aktiviti Islam ditambah dari RM12 juta semasa BN kepada RM21.5 juta sekarang.
Dasar Cekap, Akauntabiliti dan Telus (CAT) yang dilaksanakan Guan Eng bukan sahaja mendapat kepujian Ketua Audit Negara, malah disokong rakyat pelbagai kaum.
Kerajaannya berjaya membawa 151 projek pelaburan dengan jumlah RM10.156 bilion, 22,215 pekerjaan dapat diwujudkan, sektor infrastruktur dan kemudahan awam dipertingkatkan, projek pembesaran Empangan Mengkuang, menaik taraf Lapangan Terbang Antarabangsa Pulau Pinang, program kualiti alam sekitar diutamakan, pertemuan dengan rakyat dan cuba menyelesaikan masalah mereka.
Apa yang lebih utama ialah beliau tidak sombong seperti sombongnya Azhar, Helmi, Mahdzir Khalid dan juak-juak mereka.
Idola pentadbirannya ialah Khalifah Umar Abdul Aziz. Nah, apa lagi?
UMNO - pentadbiran Islam tidak, demokrasi pun haus.
Setakat ini, perangkaan menunjukkan roboh kedai dan roboh gerai di zaman Barisan Nasional di 'Penang' terlalu banyak berbanding di bawah pentadbiran Guang Eng.
Dalam ceramah-seramahnya, Mohamad Sabu sudah lama menyanyikan lagu boria Pulau Pinang yang membawa intipati pembangunan tetapi malangnya kata Mat Sabu, Melayu Pulau Pinang sudah lama dihanyutkan ke Sungai Petani, Kulim, Karangan, Baling, Lunas, Keroh dan sebagainya.
UMNO seperti tidak mahu percaya bahawa ia punahkan kepercayaan dan harapan bangsanya di Pulau Pinang ketika amanah disandarkan kepada mereka. Ketika mereka masih berada dalam gelanggang politik. Ketika mereka melamun mabuk kuasa. Ketika mereka berlumba-lumba memenuhkan kantong dan tembolok kaum kerabat.
Dr Mahathir Mohamed sendiri pernah membangkitkan perkara ini ketika lawatannya ke Pulau Pinang.
Kini UMNO berkata, rosak anaknya di Penang kerana menantu. Tak mahu mengaku juga bahawa mereka salah didik.
Tidak mengapa, biar merangkak jangan menjalar ! Biar rosak sedikit dari jahanam semua.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan
Nota: Hanya ahli blog ini sahaja yang boleh mencatat ulasan.