| Harakahdaily |
| KUALA LUMPUR: Presiden Persatuan Pengguna Pulau Pinang, SM Mohamed Idris berkata, perangkaan kesihatan mendedahkan bahawa keadaan kesihatan Orang Asli menyedihkan serta kekurangan zat makanan bagi ibu-ibu mengandung dan kanak-kanak komuniti itu perlu ditangani dengan segera. Katanya, pendedahan yang dibuat oleh Dr. Selva Vathany Pillai baru-baru ini berhubung penyelewengan dan penggelapan sumber oleh pihak berkuasa hospital di Hospital Gombak, mendedahkan kenyataan sebenar status sosial dan kesihatan komuniti itu. Beliau menyatakan demikian dalam satu kenyataan yang dihantar kepada Harakahdaily, hari ini. Berikut adalah lanjutan daripada kenyataan beliau itu. Orang Asli merupakan komuniti paling terpinggir di negara ini terus mengalami kehilangan tanah mereka melalui penempatan semula, pembalakan, perlombongan, pembinaan empangan, pembangunan padang golf, skim peladangan, pengumpulan semula dan asimilasi ke dalam masyarakat arus perdana. Hak Orang Asli ke atas tanah warisan tidak diiktiraf oleh negeri; oleh itu mereka semakin kehilangan tanah dan mengalami kemusnahan asas kewujudan mereka. Dasar kerajaan ialah mengumpul dan menempatkannya semula mereka untuk menanam tanaman kontan dan makanan. Tekanan terhadap tanah dan kekurangan bantuan daripada kerajaan negeri serta sokongan telah membawa kepada meningkatkan kesukaran hidup mereka. Hari ini kira-kira 80 peratus daripada Orang Asli hidup di bawah garis kemiskinan rasmi. Lihatlah petunjuk kesihatan berikut:
Kematian bagi Orang Asli ialah 1% setahun bagi tempoh 1984-87, dua kali lebih tinggi daripada purata Malaysia Barat (0.5%) .
Dalam kalangan wanita Malaysia yang bersalin di rumah pada 1994, 42 meninggal; 60% daripadanya (25) merupakan Orang Asli.
Asli Temuan mempunyai purata paras haemoglobin 9.9 g/dl (gm/100ml) jauh lebih rendah daripada paras yang diterima iaitu 12-15 g/dl.
Di sebalik penemuan yang mengejutkan ini, komuniti Orang Asli gagal untuk menerima perhatian yang mereka perlukan. Hari ini, Orang Asli menjadi komuniti yang paling tidak sihat di Malaysia, satu gambaran status peminggiran mereka dalam masyarakat. Kekurangan zat makanan merupakan masalah serius dalam kalangan orang Asli, dan wanita Orang Asli merupakan kumpulan orang dewasa yang paling kekurangan zat makanan di Malaysia Barat. Ini adalah diakibatkan oleh kehilangan tanah pertanian dan tempat mencari makan, meningkatnya pencemaran sungai, diet yang tidak mencukupi; paras dan kekerapan mengalami jangkitan penyakit, jangkitan usus dan diskriminasi. Wanita Orang Asli mempunyai paras kekurangan folate dan zat besi yang tinggi, dibebani dengan masalah cacing dan malaria. Keadaan ini diburukkan lagi oleh kemerosotan khasiat pemakanan dalam kalangan kumpulan yang paling terjejas iaitu wanita yang mempunyai anak kecil dan kanak-kanak. Orang Asli selalu mencari makan dengan pelbagai sumber makanan malah apabila mereka menjadi ‘petani’ dan mereka menikmati kualiti makanan yang tinggi dengan pelbagai jenis yang menarik jika jarang-jarang dalam kuantiti yang banyak. Memandangkan sumber makanan ini semakin merosot mereka dipaksa untuk membeli makanan moden seperti gula, tepung, susu pekat manis, makanan dalam tin, dan minyak masak yang semuanya mengakibatkan pemakanan yang tidak sihat, tidak seimbang dan sukar untuk diperolehi. Kajian mendedahkan anemia merupakan penyebab ketara penyakit dalam kalangan wanita Orang Asli; dan ibu-ibu mengandung serta goiter (keadaan bengkak pada kelenjar tiroid) dalam kalangan kanak-kanak tidak melihat sebarang perubahan antara 1951 dan 1995. Kesihatan ibu-ibu mengandung merupakan perkara utama dalam kelangsungan hidup ibu-ibu mengandung dan bayi dan kesihatan yang amat penting kepada komuniti Orang Asli. Status pemakanan kanak-kanak Orang Asli dijelaskan sebagai buruk oleh pelbagai kajian. Pada 1987, didapati 54 peratus mengalami kekurangan berat badan dan 66 peratus terencat. Kajian lain mengesahkan bahawa kekurangan zat makanan yang meluas wujud dalam kalangan kanak-kanak Orang Asli; dan kekerapan terencat adalah daripada 44 peratus dalam kalangan bayi hingga 80 peratus dalam kalangan kanak-kanak berusia dua hingga enam tahun. Penyelidik telah merumuskan bahawa “status pemakanan kanak-kanak Orang Asli amat sangat berbahaya”. Disebabkan oleh kekurangan zat makanan dalam kalangan kanak-kanak yang amat serius ditambah dengan cacing usus dan masalah lain, kanak-kanak Orang Asli berdepan kecacatan yang teruk terhadap perkembangan fizikal, intelektual dan sosial mereka. Perangkaan kesihatan yang menyedihkan ini mendedahkan bahawa keadaan kesihatan yang menyedihkan serta kekurangan zat makanan bagi ibu-ibu mengandung dan kanak-kanak Orang Asli dalam kalangan komuniti Orang Asli perlu ditangani dengan segera. Malah Hospital Orang Asli di Gombak hanya melihat sedikit perubahan. Struktur bangunan kayu ‘sementara’ di Hospital Gombak yang dibina pada 1959 oleh pekerja Orang Asli masih menempatkan pesakit. Kakitangan hospital masih kekurangan kepakaran dalam pelbagai disiplin perubatan. Pendidikan kesihatan yang sempurna tidak ditangani oleh birokrasi perubatan pada masa ini untuk Orang Asli. Menurut Ketua Hospital Gombak, kesihatan Orang Asli tidak mendapat layanan yang baik oleh ‘sikap kakitangan’ di kemudahan perubatan itu. Di bawah undang-undang, semua aspek kehidupan mereka ‘diuruskan’ oleh Jabatan Hal Ehwal Orang Asli (JHEOA). Pendek kata mereka dinafikan hak dengan mempunyai sedikit ruang untuk menyuarakan hal ehwal dan kehidupan mereka sendiri. Komuniti Orang Asli mestilah terlibat dalam memutuskan keutamaan dan keperluan mereka memandangkan hanya mereka yang mengetahui masalah mereka dengan baik. Berhubung perkara ini, mobilisasi sokongan yang aktif dan penglibatan komuniti adalah menjadi asas kepada penambahbaikan kesihatan mereka. |
HALAMAN SANTAI
Sabtu, 13 Mac 2010
Keadaan kesihatan Orang Asli menyedihkan
Langgan:
Catat Ulasan (Atom)
Tiada ulasan:
Catat Ulasan