Halaman

Sabtu, 6 Mac 2010

Kelantan dijangka peroleh peruntukan RM7 bilion

BERNAMA


TUMPAT - Kelantan dijangka memperoleh peruntukan antara RM5 bilion dan RM7 bilion bagi melaksanakan projek-projek pembangunan di bawah Kerajaan Pusat dalam Rancangan Malaysia Kesepuluh (RMK-10), mulai tahun depan.

Pengarah Jabatan Pembangunan Persekutuan (JPP) Kelantan, Mahktar Mustafa berkata, peruntukan itu adalah sebahagian daripada RM75 bilion yang diperuntukkan kerajaan untuk projek-projek pembangunan bagi tempoh rancangan pembangunan lima tahun tersebut. Bagaimanapun beliau berkata, keputusan muktamad berhubung peruntukan yang disediakan Kerajaan Pusat itu akan ditentukan pada persidangan Parlimen Jun depan.

Antara projek yang diberi penekanan di bawah peruntukan itu ialah yang melibatkan projek pembangunan kepentingan rakyat secara langsung, termasuk projek kemudahan asas seperti sekolah, hospital dan jalan raya, katanya kepada pemberita selepas merasmikan Majlis Program Masyarakat Prihatin dan Skim Rondaan Sukarela (SRS) di Kawasan Rukun Tetangga Kampung Baru, Pasir Pekan dekat sini, petang ini.

Hadir sama Pengarah Jabatan Perpaduan Negara dan Integrasi Nasional (JPNIN) Kelantan, Abdul Hadi Salleh. Menurutnya, ketika ini JPP sudah merangka pelbagai cadangan projek pembangunan setelah ia ditutup pada 26 Februari lalu dan akan dikemukakan kepada Majlis Tindakan Pembangunan Negeri Kelantan yang dipengerusikan Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri, Datuk Seri Mustapa Mohamed yang juga Pengerusi Perhubungan UMNO negeri.

"Ia akan diteliti oleh Unit Perancang Ekonomi (EPU) untuk dipertimbangkan sebelum dibawa ke Parlimen," kata Mahktar.

Melalui peruntukan itu juga, JPP turut menumpukan usaha pada projek membasmi kemiskinan tegar bagi memastikan matlamat membasmi kemiskinan tegar dapat dicapai pada tahun ini.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan

Nota: Hanya ahli blog ini sahaja yang boleh mencatat ulasan.