UTUSAN ONLINE
KOTA BHARU - Malaysia sedang berusaha mendapatkan kuota tambahan khas bagi jemaah haji untuk membolehkan lebih ramai warga emas menunaikan ibadat itu.
Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Jamil Khir Baharom berkata, kuota 26,000 jemaah sekarang tidak mencukupi berikutan jumlah permohonan yang meningkat setiap tahun.
Menurut beliau, dengan kuota yang ada dikhuatiri golongan warga emas mungkin ada yang tidak sempat menunaikan fardu haji kerana terpaksa menunggu giliran yang lama.
"Ini kerana warga emas terutama yang berumur 75 tahun ke atas lebih terdedah kepada pelbagai risiko penyakit. Oleh itu, kita berharap mendapat kuota tambahan khas untuk tempoh dua atau tiga tahun kepada Malaysia," katanya.
Beliau berkata demikian selepas merasmikan Muzakarah Haji Peringkat Kebangsaan di Pusat Dagangan Kelantan di sini hari ini.
Menurutnya, Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak ketika mengerjakan umrah baru-baru ini telah menyuarakan perkara itu kepada pihak berkuasa Arab Saudi.
Dalam hal itu beliau menggalakkan rakyat supaya berdaftar dengan Lembaga Tabung Haji (TH) bermula zaman persekolahan untuk memastikan mereka dapat menunaikan ibadat haji sebelum mencapai umur 50 tahun.
Jamil Khir berkata, berpandukan kepada senarai menunggu semasa, jika seseorang itu mendaftar sekarang, mereka hanya dapat menunaikan ibadat haji pada 2022 atau 2023.
Jelasnya, tahun lalu 75 peratus daripada 26,000 jemaah haji negara berusia lebih 50 tahun dan jumlah itu dijangka meningkat sekiranya trend mendaftar lewat dengan TH masih diteruskan.
Menurutnya, TH akan mempergiatkan usaha memastikan senarai menunggu jemaah haji dapat dipendekkan.
"Untuk menarik jumlah pencarum pada usia muda, kita telah menempatkan seorang pegawai di setiap negeri yang akan bergerak ke setiap sekolah untuk menggalakkan pelajar membuka akaun dengan caruman serendah RM10 sahaja," jelasnya.
Mengulas mengenai kes penderaan kanak-kanak yang semakin berleluasa, beliau yang memegang portfolio agama dalam Kabinet negara menasihatkan orang ramai agar membuat laporan polis jika kes tersebut berlaku di kawasan mereka.
"Polis bertindak ikut laporan. Kalau tidak dilaporkan mereka tidak boleh buat apa-apa. Sebab itu kalau tahu kes seperti itu berlaku, selain melaporkan kita perlu mengambil langkah untuk mencegahnya,'' katanya.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan
Nota: Hanya ahli blog ini sahaja yang boleh mencatat ulasan.