| |
| Nadzri Ismail (kanan) menyampaikan bantuan peralatan sekolah kepada penghuni Pusat Jagaan Anak-Anak Yatim dan Miskin Nurul Iman, Kampung Manjoi, Ipoh, semalam. |
IPOH - Sudah jatuh ditimpa tangga. Begitulah nasib penghuni Pusat Jagaan Anak-Anak Yatim dan Miskin Nurul Iman di sini apabila bangunan tempat mereka berlindung, musnah dalam kebakaran malam tadi.
Belum pun sempat hasrat untuk tinggal di bangunan yang lebih selesa tertunai, kira-kira 30 anak yatim di pusat jagaan itu terpaksa mengharapkan simpati pihak-pihak tertentu untuk meneruskan hidup.
Lebih mengharukan, kebakaran yang berlaku pada pukul 12.40 tengah malam tadi menyebabkan sebahagian daripada penghuni pusat perlindungan terbabit hanya tinggal sehelai sepinggang.
Nasib yang menimpa penghuni kediaman tersebut mendapat perhatian Yayasan Perak apabila tampil membantu memberi bantuan pakaian dan kelengkapan sekolah, mesin basuh serta komputer bernilai RM10,000.
Pengerusinya, Datuk Nadzri Ismail berkata, selain bantuan itu, pihaknya juga akan mewujudkan jawatan kuasa khas terdiri daripada Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM), Jabatan Kerja Raya (JKR) serta Jabatan Agama Islam Perak (JAIP) untuk bantuan mendirikan bangunan pusat jagaan tersebut.
Pada masa sama, katanya, Yayasan Perak dengan bantuan JKR akan membersih dan meratakan kawasan kebakaran bagi mendirikan bangunan sementara untuk keselesaan para penghuni pusat jagaan terbabit.
"Selain itu, Yayasan Perak juga akan memberi bantuan makanan kerana kita tidak mahu anak-anak ini terjejas pembesaran dan pelajaran mereka," katanya.
Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas melawat dan menyampaikan bantuan kepada penghuni Pusat Jagaan Anak-Anak Yatim dan Miskin Nurul Iman di sini hari ini.
Sementara itu, pengasas pusat jagaan itu, Khairul Anuar Mohamad Razi ketika menceritakan detik-detik cemas kejadian tersebut berkata, beliau hanya menyedari berlaku kebakaran apabila salah seorang daripada kakitangan pusat jagaan terbabit menjerit meminta bantuan.
Katanya, usaha kakitangannya memadamkan api yang marak menggunakan alat pemadam kebakaran gagal menyelamatkan surau, bilik kakitangan, bilik makanan beku serta stor menyimpan buku, pakaian sekolah dan pakaian harian penghuni yang berumur di bawah 12 tahun.
Ujarnya, kebakaran itu menyebabkan pusat jagaannya itu kerosakan sebuah mesin basuh, dua buah komputer, tiga mesin jahit dan beberapa barangan keperluan yang dianggarkan bernilai RM70,000.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan
Nota: Hanya ahli blog ini sahaja yang boleh mencatat ulasan.