Oleh AZIAN AZIZ
SHAH ALAM - Selepas 'merampas' tanah milik Yayasan Basmi Kemiskinan (YBK) di Serendah, Rawang dekat sini, kerajaan negeri mengarahkan Jabatan Audit negeri menyemak harta-harta lain yang dimiliki yayasan itu di Selangor.
Alasan yang diberi ialah mengemas kini semua harta-harta itu dan melengkapkannya dengan laporan audit sebelum dipaparkan kepada umum.
Menteri Besar, Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim berkata, tindakan itu dibuat selepas pihaknya mendapati terdapat beberapa harta milik YBK yang penyata cukai tanah dan hasil tanahnya dialamatkan kepada pejabat Menteri Besar.
Beliau memberi contoh penyata cukai tanah yang masih dialamatkan kepada pejabat Menteri Besar ialah untuk aset seluas 725 meter persegi milik yayasan itu di Damansara, Petaling Jaya.
"Ini menunjukkan YBK masih menggunakan pejabat Menteri Besar untuk urusan cukai tanah. Oleh itu, banyak perkara yang perlu dikemas kini yayasan itu.
"Jadi, mesyuarat Exco bersetuju melantik Jabatan Audit negeri mengaudit semua pemilikan harta YBK yang ada dalam rekod kerajaan negeri," katanya selepas mempengerusikan mesyuarat Exco kerajaan negeri di sini hari ini.
Menurut Abdul Khalid, antara harta milik YBK yang perlu disemak termasuk tanah di Rawang, Serendah, Shah Alam, Damansara dan Api-Api di Kuala Selangor selain rumah-rumah yang dimiliki yayasan itu.
Kata beliau, selepas laporan audit itu lengkap, ia akan dipaparkan bersama maklumat sedia ada kepada umum.
"Selepas ini masyarakat akan tahu berapa banyak harta YBK yang diberi kerajaan negeri dan dibeli sendiri," jelasnya.
Menurut beliau, YBK sepatutnya mengemas kini semua alamat penyata cukai tanah bagi aset-asetnya selepas ini.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan
Nota: Hanya ahli blog ini sahaja yang boleh mencatat ulasan.