Halaman

Khamis, 4 Mac 2010

Selangor buat audit sendiri nilai harta YBK

SELANGOR KINI

khalid-okSHAH ALAM - Kerajaan Negeri Selangor akan melakukan audit sendiri bagi membuat penilaian sebenar ke atas dana dan harta milik Yayasan Basmi Kemiskinan (YBK) dan bagaimana ia digunakan untuk membantu golongan miskin di negeri ini, kata Menteri Besar, Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim.

Beliau berkata laporan audit kewangan itu akan memperincikan operasi yayasan itu termasuk jumlah dana dan harta disumbangkan kerajaan negeri untuk melaksanakan program membasmi kemiskinan.

“Kerajaan negeri ada rekod tanah-tanah yang dimiliki YBK seperti di Serendah, Rawang, Mukim Damansara, Mukim Api-Api di Kuala Selangor dan sebagainya.

“Justeru, kita hendak memastikan orang awam mendapat fakta-fakta yang sudah disemak mengenai harta-harta yang dimiliki YBK melalui laporan audit yang akan dikeluarkan nanti,” kata beliau kepada pemberita selepas mempengerusikan mesyuarat mingguan Exco negeri di sini hari ini.

Kerajaan Selangor sebelum ini menyatakan hasrat untuk melantik Khalid sebagai Pengerusi YBK manakala anggota Exco Kebajikan, Hal Ehwal Wanita, Sains Teknologi dan Inovasi Selangor Rodziah Ismail sebagai anggota lembaga pengarah yayasan itu.

Pengerusi YBK Datuk Zainal Abidin Sakom dilaporkan berkata yayasan itu perlu segera membayar tunggakan cukai tanah sebanyak RM6 juta jika mereka tidak menerima Khalid sebagai pengerusi, atau kerajaan negeri tidak akan meluluskan pembinaan kampus Universiti Teknologi Mara di tanah yayasan itu.

Ekoran itu, Yayasan Melaka membantu YBK membuat pembayaran tunggakan cukai tanah yayasan itu berjumlah RM5.43 juta.

Bagaimanapun, kerajaan negeri telah memulangkan pembayaran tunggakan cukai tanah YBK yang dibuat oleh Yayasan Melaka kerana Seksyen 98 Kanun Tanah Negara jelas menyatakan cukai tanah hanya boleh dijelaskan oleh pemilik tanah itu sendiri iaitu YBK.

Sementara itu, Pengerusi Jawatankuasa Tetap Perumahan, Pengurusan Bangunan dan Setinggan Iskandar Abdul Samad berkata, kerajaan negeri selesai menyiapkan garis panduan bagi pelaksanaan kerja-kerja khidmat komuniti oleh penyewa Projek Perumahan Rakyat (PPR) sebagai cara melunaskan tunggakan sewa mereka.

Beliau berkata setakat ini, jumlah tunggakan sewa yang perlu dibayar oleh penyewa dari empat PPR di negeri Selangor melebihi RM4.2 juta.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan

Nota: Hanya ahli blog ini sahaja yang boleh mencatat ulasan.