Fakta terkini, menunjukkan bahawa negara kita sedang menuju ke arah perangkaan 30 juta rakyat. Sama ada jumlah itu termasuk warganegara asing atau tidak, hal itu masih boleh diperdebatkan.
Dua tahun lalu, dalam kajian Mengenai Penduduk dan Keluarga Kebangsaan, ada perangkaan menunjukkan wujudnya peningkatan masalah kahwin lewat dalam kalangan wanita berpendidikan tinggi.
Ketua Pengarah Lembaga Penduduk dan Pembangunan Keluarga Negara (LPPKN), Datuk Aminah Abdul Rahman berkata, fenomena itu juga telah menyebabkan makin ramai wanita berpelajaran tinggi berkahwin dengan lelaki yang lebih muda, berpendidikan rendah dan mempunyai tahap kedudukan ekonomi lebih rendah berbanding mereka.
Bagaimanapun, itu adalah perangkaan yang dibentangkan dua tahun lalu. Kini, hasil kajian terbaru menunjukkan kadar kesuburan wanita kita dijangka menurun secara mendadak pada 2015 iaitu 2.05 kanak-kanak bagi seorang wanita berbanding 2.2 kanak-kanak pada 2007.
Aminah berkata, hasil kajian kadar kesuburan wanita Malaysia daripada 1995 hingga 2007 menunjukkan bahawa wujudnya penurunan setiap tahun yang mengakibatkan penurunan kadar populasi penduduk di negara ini.
"Hasil kajian itu membuktikan kesuburan pada 1995 yang mencatatkan 3.4 kanak-kanak bagi seorang wanita menurun kepada 2.9 pada 2000 dan akhirnya 2.2 pada 2007," katanya dalam sidang media Forum Konsultatif Siri 3, Kajian Pelan Strategik Kependudukan kedua, baru-baru ini.
Aminah berkata, wanita Malaysia mengalami penurunan tahap kesuburan setiap tahun dan tahap kesuburan dalam kumpulan umur antara 15 hingga 49 tahun merosot dengan pantas dan semua ini boleh menjejaskan tahap populasi Malaysia masa depan.
Tambah beliau, antara punca utama masalah itu adalah sikap mereka yang lebih mengutamakan kerjaya dan terlepas daripada lingkungan umur yang sesuai untuk mendirikan rumah tangga.
Galakkan berkahwin pada usia sesuai
Bagi mengatasi masalah ini, kata Aminah, LPPKN dengan bantuan kerajaan dan pertubuhan bukan kerajaan (NGO) kini mengadakan acara di seluruh negara bagi menggalakkan pasangan-pasangan muda berkahwin pada usia sesuai.
"Ada juga wanita mengamalkan gaya hidup tidak mahu berkahwin atau lebih berminat kepada gaya hidup bebas," katanya.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan
Nota: Hanya ahli blog ini sahaja yang boleh mencatat ulasan.