Halaman

Selasa, 22 Jun 2010

Zaid Ibrahim nafi tuduhan tidak main dalam satu pasukan

Lim Hong Siang



Isu minum arak semestinya bukan sesuatu yang baru buat Zaid Ibrahim. Bagaimanapun, isu ini tidak dipermainkan dalam PRU ke-11, ketika beliau bertanding di kawasan parlimen Kota Bahru, menentang lawannya dari PAS.

Namun demikian, tuduhan kaki botol, isu memiliki kuda lumba dibadai sehabis-habisnya ke atas Zaid Ibrahim, dalam PRK Hulu Selangor pada April 2010, apabila beliau masuk ke gelanggang menyarungkan jersi PKR.

Beliau sendiri mengakui kesukaran yang dihadapinya, sebagai calon pembangkang, "Sukar..., kerana sistemnya sebegitu. Media dikawal oleh mereka (Barisan Nasional), proganda, pembohongan...diserang ke atas saya." Kesimpulannya, gelanggang yang tidak sama rata.

Tidak main dalam pasukan?

Realiti sedemikian adalah pengetahuan am untuk kebanyakan orang yang celik politik tempatan. Ia adalah kelumrahan, dan bukannya cabaran baru untuk pembangkang setiap kali berdepan dengan pilihan raya. Apa yang "baru" selepas PRK Hulu Selangor adalah, apabila sesetengah anggota parti mula melontarkan tuduhan bahawa Zaid Ibrahim tidak bermain dalam satu pasukan, dalam pertarungan sengit untuk mempertahankan kerusi PKR di Hulu Selangor.

"Kamu tanyalah sendiri, mengapa perlu saya buat demikian? Adakah ia sesuatu yang masuk akal untuk kamu?" Zaid Ibrahim (gambar kanan) menafikan tuduhan, berulangan menegaskan bahawa tuduhan ini langsung tidak masuk akal.

"Kamu sebagai seorang calon, kamu tidak mahu sokongan orang lain. Adakah ia masuk akal?" Beliau menyambung, "Jadi, (tuduhan) ini hanyalah pembohongan. Orang ini (yang buat tuduhan) tidak menyokong saya. Mereka cuba untuk sabotaj."

Wartawan menyusul soalan dengan mengatakan bahawa Zaid Ibrahim didapati tidak menghadiri sidang media atau aktiviti yang dijadualkan pasukan kempen PKR, sehingga mencungkil rungutan sesetengah wartawan yang membuat liputan dalam PRK Hulu Selangor.

Lantas Zaid Ibrahim mencelah, "Tak, kamu tak boleh menilai satu pilihan raya dengan media... Hanya kerana mereka (pasukan kempen) mengadakan sidang media pada jam 11 pagi, saya perlu berada di sana setiap hari."

Jangan persalahkan saya, Zaid

Beliau menjelaskan, "Hulu Selangor adalah satu kawasan yang besar. Saya perlu merancang, memutuskan berapa kali perlu saya berada di situ. Orang yang menyediakan jadual bukan calon, (tapi) saya (ialah) calon. Jadi, saya perlu menentukan, (aktiviti) mana yang lebih penting."

"Itu tidak bermakna saya bukan seorang anggota pasukan (team player), itu bermakna organisasi itu lemah. Itu sahaja. Jangan persalahkan saya. Orang ini cuba menutup kelemahan mereka sendiri," tambahnya.

Malah, Zaid menjadikan organisasi tempatan yang lemah sebagai alasan mengapa beliau perlu "membuat keputusan dirinya" pada masa-masa tertentu. "Pasukan itu tidak bekerja dengan baik," katanya.

Beliau mendakwa bahawa dalam setiap pilihan raya, sesebuah parti perlu bergantung kepada organisasi tempatannya. "Pusat tidak tahu keadaan di tempatan. Apabila ada pilihan raya, jentera semuanya dari tempatan. Jadi, kamu perlu mempunyai satu jentera tempatan yang mantap," katanya.

Nasib dalam parti

Di mana ada gula, di situ ada semut; Di mana ada kuasa, di situ ada politikus. Tidak ramai yang sanggup menyertai PKR sebelum "tsunami politik" pada 8 Mac. Pelbagai sindiran dilontarkan - parti dengan hanya satu kerusi di parlimen yang tidak mempunyai masa hadapan. Dari percaturan strateginya, PKR dilihat sebagai parti yang menongkah arus dalam sentimen perkauman dan agama, malah Ketua Umumnya, Anwar Ibrahim sudah tidak relevan!

Selama ini, PKR disamakan dengan Anwar Ibrahim. Pemimpin barisan kedua tidak menonjol, lebih ketara apabila ramai yang memilih untuk keluar parti setelah gagal dalam perebutan kuasa. Timbalan Presiden, Syed Husin Ali semestinya bukan pewaris Anwar, berikutan faktor umurnya. Persoalannya, siapa pula?

Zaid Ibrahim keluar dari UMNO tepat pada masanya, lantas menjangkau kedudukan moral yang tinggi kerana "mempertahankan prinsip". Imej beliau cukup terserlah, sehingga mengundang pelbagai pertikaian - ketika membincangkan kedudukannya dalam parti. Kelebihan ini membuatkan Zaid Ibrahim dilihat sebagai pemimpin masa depan PKR, sementara ada yang mempertikaikan senioritinya dalam parti, kerana tidak pernah bersama dalam perjuangan PKR, pada ketika parti ini melalui detik saat yang paling genting.

PRK Hulu Selangor menjadi pertarungan yang penting untuk Zaid Ibrahim, sebagai penentu kedudukannya dalam parti pada masa yang akan datang. Malah, ada yang mendakwa bahawa ketewasannya terus memalapkan masa depannya dalam parti.

"Kamu tunggu dan lihatlah!"

"Itu sekadar pilihan raya kecil," kata Zaid Ibrahim bersahaja, "Sememangnya, ia sesuatu yang baik jikalau disambut dengan kemenangan."

Ketika diajukan lagi dengan soalan peranan yang bakal dimainkannya dalam PKR, Zaid Ibrahim menjawab, "Itu kamu perlu tanya Anwar Ibrahim."

Desas-desus tersebar baru-baru ini bahawa beliau mungkin akan dilantik sebagai Setiausaha Agung dalam PKR, menggantikan Saifuddin Nasution Ismail. Wartawan membangkitkan pandangan bahawa ada yang menganggap Zaid Ibrahim tidak mempunyai sokongan akar umbi, yang mana faktor ini mungkin tidak memihak kepadanya jika masuk bertanding dalam pemilihan parti.

"Saya ni, semua orang kata saya tak ada grassroot. Kamu tak tahu, orang boleh kata macam-macam yang mereka suka," sebelum beliau menyambung, "Kamu tunggu dan lihatlah. Kita tak tahu (apa yang berlaku kemudiannya)." (Bahagian kedua, bersambung)


*Wawancara ini dijalankan oleh Lim Hong Siang dan Wong Shu Qi dari MerdekaReview, di sebuah kafe pada 14 Jun 2010.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan

Nota: Hanya ahli blog ini sahaja yang boleh mencatat ulasan.