HALAMAN SANTAI

Rabu, 3 November 2010

Kemalangan Genting-Sempah: Mangsa Sukar Lupa Rakan Mati Depan Mata

BERNAMA


SELAYANG– Empat hari telah berlalu yang menyaksikan bas yang dinaikinya terlibat dalam kemalangan, namun Mohd Shamsuri Mohd Shafie, 15, masih sukar untuk melupakan pengalaman itu, terutama detik-detik hiba apabila melihat sendiri seorang rakannya maut di depan mata.

Dalam kejadian itu, Mohammad Yussof A. Akhit, 16, yang duduk bersebelahan Mohd Shamsuri adalah antara tujuh anggota Belia 4B dari Kampung Baru Siong, Baling, yang maut selepas bas yang dinaiki bersama 37 rakan lain kemalangan ketika menuruni bukit selepas berkunjung ke Genting Highlands, dipercayai akibat kerosakan brek.

Sebak mengenangkan kejadian malang itu, Mohd Shamsuri kesal kerana tidak dapat membantu Mohammad Yussof walaupun beberapa detik sebelum bas terbalik, mereka berdua telah bersedia untuk menyelamatkan diri.

“Saya sempat kejut (Mohammad) Yussof masa bas mula huyung-hayang tak terkawal dan rakan-rakan yang cemas juga menjerit dan melaungkan ‘Allahuakbar’,” katanya ketika ditemui di wad Hospital Selayang dekat sini.

Mohd Shamsuri dirawat ekoran mengalami pendarahan paru-paru, patah tulang pinggul serta pendarahan dalam mata.

Menurutnya, selepas bas terbalik, perkara pertama yang diingatnya ialah untuk keluar secepat mungkin dari bas bersama-sama dengan rakannya itu.

“Saya bersyukur kerana masih bernafas tetapi sedih bila tengok Yussof yang berlumuran darah tidak bergerak, tersepit bawah bas.

“Saya nak tolong (keluarkan Yussof) tapi tak larat,” katanya sambil memeluk erat tangan ibunya Suzana Soperi, 39, yang sabar menunggu di samping anaknya sejak kemalangan itu.

Mohd Shamsuri berkata, dalam keadaan cedera parah, beliau kemudian merangkak keluar dari badan bas itu melalui serpihan kaca tingkap bas yang pecah, menuju ke tepi jalan raya sambil mengharapkan bantuan segera.

“Yang ada dalam fikiran saya ketika itu cuma mati dan saya hanya mampu berselawat serta mengucap dua kalimah syahadah,” katanya.

Dalam kejadian 7.50 malam itu, sebuah bas yang membawa 44 anggota Belia 4B dari Kampung Baru Siong, Baling, terbabit dalam kemalangan ketika menurunibukit selepas bertolak dari Genting Highlands.

Mereka yang terbunuh berusia antara 13 tahun hingga 28 tahun, enam daripada mereka mati di tempat kejadian manakala seorang lagi iaitu guru agama dan juga ketua rombongan tersebut Mohd Zaidi Mohd Sufian, 28, mati dalam perjalanan ke Hospital Selayang.

Baki 39 yang lain termasuk pemandu bas cedera.


Tiada ulasan: