HALAMAN SANTAI

Sabtu, 19 Februari 2011

Cabar PM Dedahkan Nama Siapa Hasut Keluarga Teoh Tarik Diri

Ditulis oleh Nor Azarina

SHAH ALAM: Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak dicabar untuk menamakan pihak yang menghasut keluarga mendiang Teoh Beng Hock supaya menarik diri daripada Suruhanjaya Diraja berhubung siasatan mencari punca kematiannya.

Menurut peguam keluarga Teoh, Gobind Singh Deo ketika dihubungi Tv Selangor memaklumkan, sekiranya Perdana Menteri berani, lebih baik beliau menyatakan sahaja nama pihak yang dimaksudkan.

Najib sebelum ini menyifatkan tindakan memulaukan prosiding Suruhanjaya Siasatan untuk menyiasat kematian Teoh sebagai modal kepada pembangkang
untuk dijadikan isu pada pilihan raya akan datang.

Hanya menyifatkan ia kerja pembangkang tanpa menamakan siapa yang terbabit Perdana Menteri berkata tindakan itu bertujuan melengah-lengahkan tugasan
suruhanjaya itu yang sekaligus menampakkan kerajaan seperti tidak melakukan apa-apa tindakan bagi mencari punca kematian mendiang Teoh.

“Saya cabar Perdana Menteri untuk menyatakan siapa pihak yang menghasut. Kenapa beliau tidak namakan sahaja pihak tersebut?,” katanya.

Gobind menyatakan tindakan keluarga Teoh berdasarkan fakta kerana dua prosiding kes tidak boleh berjalan secara serentak.

“Setakat yang saya tahu, keluarga Teoh Beng Hock membuat keputusan yang disokong fakta dan kita tidak boleh ada dua prosiding yang berjalan secara serentak.

“Mahkamah Tinggi Shah Alam sedang mengkaji samaada keputusan mahkamah inkues atau koronel adalah betul. Sekiranya mahkamah tinggi membuat keputusan mempunyai kesan terhadap fakta, kita harus melihat keputusan itu. Apa yang akan berlaku sekiranya keputusan yang dibuat tidak sama dengan keputusan suruhanjaya? Keputusan mana akan kita ikut?” soal beliau lagi.

Ujar Gobind lagi, memang keluarga Teoh memohon penubuhan suruhanjaya tetapi suruhanjaya yang ada perlu akur dan mengikut undang-undang.

“Ini bukan perkara remeh, ini perkara serius. Kalau nak buat, kena buat mengikut cara yang betul. Biar mahkamah tinggi membuat keputusan terlebih dahulu dan kita lihat apa yang diperkatakan oleh mahkamah tinggi dan jika selepas itu perlunya kepada keputusan suruhanjaya ikut atau menerima arahan maka ianya boleh diteruskan,” katanya.

Teoh Beng Hock, 30, Setiausaha politik anggota Exco Selangor, Ean Yong Hian Wah, ditemui mati pada 16 Julai 2009 di koridor tingkat lima Plaza Masalam, Shah Alam, selepas memberi kenyataan di pejabat Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia(SPRM) Selangor yang terletak di tingkat 14 bangunan itu.

Tiada ulasan: