BERNAMA
TANGKAK: Menteri Besar Johor, Datuk Abdul Ghani Othman, menegaskan hanya mereka yang benar-benar terjejas akibat banjir saja yang akan menerima bantuan wang ihsan daripada kerajaan negeri.
Beliau berkata, kerajaan negeri akan mendapatkan maklumat tepat tentang bilangan sebenar mangsa daripada lebih 40,000 orang yang didaftar di pusat pemindahan sementara di Segamat, Kluang, Kota Tinggi, Johor Bahru, Ledang, Muar dan Batu Pahat sejak Ahad lalu.
"Kita mempunyai cara untuk memastikan sama ada nama-nama mereka yang mendaftar di pusat pemindahan mangsa banjir itu adalah mangsa sebenar," katanya ketika ditemui selepas menyampaikan bantuan kepada hampir 3,000 mangsa banjir di dalam kawasan Dewan Undangan Negeri Serom, Tangkak dan Bukit Gambir di sini.
Abdul Ghani berkata, Segamat adalah daerah paling teruk terjejas yang hampir menyamai banjir terburuk pada 2006.
Air begitu cepat naik sehingga kebanyakan mangsa di daerah itu tidak sempat menyelamatkan harta benda mereka, jelasnya.
Beliau menyifatkan banjir kali ini sebagai fenomena cuaca yang tidak dapat diduga.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan