HALAMAN SANTAI

Khamis, 3 Februari 2011

Mesir: Mohamed ElBaradei sedia lawan presiden, dakwa Hosni ‘samseng’

THE MALAYSIAN INDIDER


Mohamed ElBaradei ketika demonstrasi di Dataran Tahrir di Kaherah. — Foto Reuters

KAHERAH — Bekas ketua agensi nuklear dunia, Mohamed ElBaradei, yang kembali ke Mesir minggu lalu, buat pertama kali menzahirkan hasrat untuk bertanding jawatan presiden negara itu yang kini berhadapan dengan krisis politik mendesak Hosni Mubarak berundur segera.

Mohamed juga membidas tuduhan bahawa beliau membenarkan politik Islam dalam kerajaan Mesir kerana perjanjiannya dengan pertubuhan Ikhwanul Muslimin.

Kata Mohamed, dakwaan itu hanya satu “fiksyen palsu”.

“Dari sudut agama, mereka konservatif tetapi mereka bersedia untuk bekerja dengan masyarakat madani,” katanya.

Beliau juga menafikan pertubuhan itu mahu menubuhkan sebuah negara ala Iran.

Pemilihan presiden akan diadakan September itu dan Hosni dalam janji awal meredakan demonstrasi yang berterusan berjanji tidak akan mempertahankan kedudukannya buat penggal keenam.

Mohamed, bekas Ketua Pengarah Agensi Tenaga Nuklear Antarabangsa, sebelum ini mengisytiharkan sebagai pemimpin sementara bagi menyelesaikan krisis semasa.

Dalam temu bual dengan The Daily Telegraph ketika ditemui di vila eksklusifnya di sebelah barat Kaherah, Mohamed berkata, jika rakyat mahukannya bertanding beliau akan sedia memenuhi permintaan itu pada September ataupun sebelum itu.

Justeru kata beliau, keganasan dramatik di tengah Kaherah semalam menunjukkan tindakannya adalah betul untuk tidak mengadakan rundingan rejim Hosni.

Sambil menyifatkan rejim Hosni sebagai “kelompok samseng”, Mohamed berkata beliau mahu meletakkan landasan baru masa depan demokratik bagi Mesir.

Bagaimanapun sebelum ini beliau berhadapan dengan kritikan kononnya “terjun” mengambil kesempatan dalam revolusi Mesir dan digesa supaya memainkan peranan yang lebih menyeluruh dalam protes yang masuk hari ke-10 hari ini.

Beliau kembali ke Mesir 27 Januari lalu dari Austria, di mana Mohamed melepaskan jawatan menerajui agensi nuklear tahun lalu.

Dalam temu bual itu, Mohamed juga mengesahkan beliau mengadakan perbincangan pemimpin-pemimpin kerajaan kelmarin tetapi enggan menyertai sebarang perundingan dengan Hosni yang mahu terus kekal berkuasa.

Pertempuran antara kumpulan pro dan anti-Hosni semalam berakhir dengan tiga kematian dan sekitar 1,000 cedera, kebanyakannya penunjuk perasaan meminta pemimpin itu berundur segera.

“Apabila anda melihat penunjuk perasaan muda ditahan, 500 lagi masih ditahan, sesetengah kelihatan seperti mayat di hospital, adakah anda mengharapkan saya berunding dengan kumpulan samseng ini?” kata beliau.

Hosni menuduh pemimpin-pemimpin pembangkang gagal untuk bertindak dengan tanggungjawab kerana enggan berunding dengannya.

Kelmarin, Mohamed mengemukakan cadangan kepada duta-duta Amerika Syarikat dan Britain supaya majlis sementara tiga anggota ditubuhkan termasuk seorang dari tentera bagi memastikan “kesinambungan dan keselamatan.”

Tiada ulasan: