HALAMAN SANTAI

Sabtu, 19 Februari 2011

Pilihan raya kampus: Pakatan kesal universiti sekat pelajar

KUALA LUMPUR — Pemimpin Pakatan Rakyat melahirkan rasa kesal dengan tindakan pentadbiran universiti di negara ini yang didakwa menyekat hak dan kebebasan mahasiswa ketika proses pilihan raya kampus yang sedang berlangsung sekarang.

Jelas mereka, peraturan-peraturan universiti yang menyekat hak dan kebebasan mahasiswa menghalang proses demokrasi diamalkan dalam pusat pengajian tinggi.

Menurut Naib Presiden PKR Nurul Izzah Anwar (gambar), sekatan terhadap mahasiswa yang masih lagi diamalkan di kampus harus dihentikan sebagai langkah menuju ke arah amalan demokrasi yang lebih baik.

“Sekatan dan halangan sebegini rupa yang terus-terusan menafikan hak kebebasan mahasiswa untuk berkempen dan melaksanakan tanggungjawab mereka untuk mengundi dan memilih kepimpinan di kalangan mahasiswa haruslah dihentikan.

“Sebaliknya, pihak Hal Ehwal Pelajar (HEP) harus telus, adil dan tidak campur tangan dalam pilihan raya kampus di semua universiti,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Justeru, beliau mencadangkan kerajaan melalui Kementerian Pengajian Tinggi mencari jalan terbaik agar mahasiswa boleh mengendalikan pilihan raya kampus.

Selain itu, Nurul Izzah berkata, sistem pilihan raya kampus yang diragui keberkesanan harus dimansuhkan serta-merta.

“Sudah tiba masanya pihak kerajaan memikirkan kembali pelaksanaan cadangan supaya para mahasiswa sendiri mengendalikan Pemilihan Majlis Perwakilan Pelajar (MPP).

“Segala sistem yang meragukan harus dimansuhkan serta-merta kerana ini jelas mencabuli prinsip-prinsip demokrasi, khususnya pilihan raya yang bebas dan adil,” kata Ahli Parlimen Lembah Pantai ini.

Selain Nurul Izzah beberapa pemimpin Pakatan Rakyat lain termasuk Ahli Parlimen Serdang Teo Nie Ching, Ahli Parlimen Rasah Anthony Loke yang juga Ketua Pemuda DAP, Ahli Parlimen Parit Buntar Dr Mujahid Yusuf Rawa yang juga ahli jawatankuasa kerja PAS pusat, Adun Batu Caves Amirudin Shari, Adun Seri Setia Nik Nazmi Nik Ahmad, Adun Simpang Pulai Chan Ming Kai, Ketua Angkatan Muda Keadilan Shamsul Iskandar Mohd Akin, Pengarah Strategi PKR Rafizi Ramli dan Ketua Srikandi PKR Siti Aisah Shaik Ismail turut kesal dengan tindakan pentadbiran universiti itu.

Justeru, mereka menuntut supaya Kementerian Pengajian Tinggi dan pentadbiran universiti untuk tidak campur tangan dalam pilihan raya kampus.

Antara tuntutan itu adalah menghormati autonomi mahasiswa dalam keterlibatan mahasiswa di lapangan masyarakat serta menghentikan segala intimidasi terhadap mahasiswa-mahasiswa; mematuhi dan menghormati kebebasan bersuara mahasiswa seperti yang terdapat dalam Artikel-19 Deklarasi Universal Hak Asasi Manusia dan Artikel-10 Perlembagaan Malaysia iaitu mahasiswa juga warganegara Malaysia dan memberi kebebasan sepenuhnya kepada mahasiswa untuk terlibat dan bersuara dalam apa jua aktiviti yang membina karisma dan idealisme tanpa dikongkong dan disekat atau diancam dengan ugutan oleh mana-mana pihak mahupun Akta Universiti dan Kolej Universiti (AUKU).

Selain itu, mereka juga mahu agar proses pilihan raya kampus berjalan dengan telus termasuk memberi ruang sepenuhnya untuk mana-mana mahasiswa untuk bertanding; memberikan kebenaran kepada mahasiswa untuk berkempen di dalam pilihan raya kampus dengan bebas dan adil dan memanjangkan masa berkempen dari tiga hari kepada tujuh hari bagi memberikan ruang dan masa yang panjang untuk sesi kempen dan menyampaikan manifesto kepada mahasiswa.

Kelmarin beberapa pertubuhan mahasiswa menyerahkan memorandum bantahan kepada Suhakam berhubung pencabulan hak dalam pilihan raya kampus.

Pertubuhan mahasiswa itu adalah Pro Mahasiswa Nasional, Gabungan Mahasiswa Islam Se-Malaysia (Gamis) dan Kumpulan Aktivis Mahasiswa Independen (Kami).

Memorandum yang diserahkan kepada Suhakam menuntut beberapa perkara dalam usaha mengembalikan kebebasan dalam melaksanakan pilihan raya kampus.

Sementara itu, Teo juga mahu Kementerian Pengajian Tinggi dan pihak pentadbiran universiti agar bersikap adil terhadap semua mahasiswa yang mahu bertanding dalam pilihan raya kampus.

Jelas Teo, beliau mendapat maklumat ada seorang mahasiswa yang akan bertanding dalam pilihan raya kampus telah menerima notis untuk menghadiri pendengaran berkaitan penglibatannya dalam kempen “Kembalikan Hak Air Rakyat” anjuran kerajaan negeri Selangor pada Disember lalu.

“Jika mahasiwa terbabit dituduh di bawah AUKU, maka mahasiwa tersebut yang meyertai barisan Mahasiswa Progresif mungkin akan menghadapi tindakan penyingkiran atau hilang kelayakan sebagai calon.

“Jika mahasiswa ini memerlukan keizinan daripada pihak pentadbiran untuk menyertai demonstrasi kempen air tersebut atau menghadapi tindakan penyingkiran daripada kampus, maka barisan mahasiswa nasional yang cenderung kepada sekolah juga patut dikenakan tindakan yang sama,” katanya.

Justeru beliau meminta supaya Kementerian Pengajian Tinggi dan pihak pentadbiran universiti agar bertindak lebih adil dalam melaksanakan undang-undang terhadap isu ini.

Tiada ulasan: