HALAMAN SANTAI

Jumaat, 4 Februari 2011

Syor sihat sebagai syarat jadi calon

Aziz Muda

KUALA LUMPUR: Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) diminta memberikan pertimbangan terhadap syarat ‘sihat tubuh badan’ untuk dimasukkan ke dalam kelayakan seorang calon yang bertanding dalam pilihan raya, demi kepentingan dan kesejahteraan rakyat.

Kini, jika dilihat kepada kelayakan calon yang bertanding, ia terlalu asas sehingga boleh dikatakan sesiapa pun boleh bertanding, asalkan berpengaruh dan berwang.

Gabungan Persatuan-Persatuan Pengguna-Pengguna Malaysia (Fomca) menjelaskan, kini antara kelayakan-kelayakan yang perlu dipenuhi oleh bakal calon adalah warganegara Malaysia, berumur tidak kurang daripada 21 tahun pada hari penamaan calon.

Presidennya, Datuk Marimuthu Nadason berkata, selian itu, calon mestilah tinggal di negeri di mana dia akan bertanding bagi kerusi Dewan Undangan Negeri (Dun) dan di mana-mana dalam Malaysia bagi kerusi Parlimen.

"Calon juga mestilah tidak hilang kelayakan (tidak siuman, bankrap, memegang jawatan “office of profit”, gagal mengemukakan laporan perbelanjaan pilihanraya, telah mendapat kewarganegaraan asing, dan telah didapati bersalah dan dijatuhi hukuman penjara tidak kurang dari 1 tahun atau kurang dari RM2,000 dan belum mendapat keampunan)," katanya.

Dalam satu kenyataan kepada Harakahdaily hari ini, beliau berkata, sejak PRU Ke-12 lalu, negara telah melalui 8 pilihan raya kecil bagi Dun iaitu Permatang Pauh, Bukit Selambau, Batang Ai, Menanti, Manek Urai, Permatang Pasir, Bagan Pinang, Galas dan terbaru di Tenang.

Di samping itu, 6 pilihanraya kecil bagi kerusi Parlimen telah diadakan iaitu Permatang Pauh, Kuala Terengganu, Bukit Gantang, Hulu Selangor, Sibu dan Batu Sapi.

"Kebanyakan pilihanraya kecil ini diadakan kerana ahli dewan undangan negeri atau ahli Parlimen di kawasan-kawasan tersebut meninggal dunia atau melepaskan jawatan mereka kerana masalah kesihatan.

"Begitu juga dengan Dun Tenang yang sebelum ini disandang oleh Datuk Sulaiman Taha yang meninggal akibat jangkitan dalam darah dan komplikasi lain disebabkan diabetes," katanya.

Memang kita tidak dapat menjangkakan kematian setiap orang, menurut beliau, namun adalah lebih baik sekiranya SPR menambahkan satu lagi kelayakan kepada bakal calon yang bertanding, iaitu mempunyai tahap kesihatan yang baik.

Oleh itu, bakal calon yang akan bertanding wajiblah menjalankan pemeriksaan kesihatan sepenuhnya dan memberikan laporan kesihatan tersebut kepada SPR.

"Laporan itu kemudiannya akan dinilai oleh panel khas kesihatan calon. Sekiranya calon mempunyai penyakit kronik, maka beliau tidak dibenarkan untuk bertanding.

"Ini juga baik bagi calon untuk membolehkan beliau merawat penyakitnya yang mungkin tidak diketahuinya sebelum itu," tegasnya.

Sementara itu, dalam laman webnya, consumerkini, Fomca turut menegaskan, di dalam Islam, antara syarat-syarat bagi seseorang pemimpin adalah pemimpin mestilah berpegang kepada ajaran agama, sihat tubuh badan, adil, berilmu, mempunyai teladan yang baik, melaksanakan hukum, memberi perhatian kepada orang bawahan, matang dalam tindakan dan tidak zalim.

Contoh lain yang mudah, sekiranya dalam perkahwinan sekalipun, suami yang bakal mengetuai sebuah bahtera rumah tangga diwajibkan mempunyai tubuh badan yang sihat, apatah lagi pemimpin yang akan memimpin rakyat?

Tiada ulasan: