SPKB berazam untuk meneruskan perjuangan Allahyarham Dr Lo' Lo' Mohd Ghazali untuk membela nasib pemilik dan perwaris tanah Kampung Baru.
PETALING JAYA: Sekretariat Pembangunan Kampung Baru (SPKB) mengulangi tekad dan keazaman untuk meneruskan perjuangan Allahyarham Dr Lo’ Lo’ Mohd Ghazali, bekas Ahli Parlimen Titiwangsa, untuk membela nasib pemilik dan perwaris tanah Kampung Baru, yang terletak di tengah-tengah bandaraya Kuala Lumpur.
SPKB adalah sebuah unit yang ditubuhkan di bawah Pusat Khidmat Masyarakat Wakil Rakyat Titiwangsa, demikian menurut pengerusinya Ahmad Zamri Asa’ad Khuzaimi dalam satu kenyataan media semalam.
Beliau berkata, mereka yang menganggotai SPKB ini terdiri daripada pemilik tanah, pakar undang-undang, profesional, dan aktivis masyarakat yang selama ini memberikan sokongan kepakaran dan tenaga kepada Dr Lo’ Lo’ untuk memastikan keadilan tertegak dalam usaha untuk membangunkan tanah Kampung Baru.
“SPKB akan terus wujud selepas pemergian arwah untuk memastikan harapan beliau dan rakyat tercapai,” tegas beliau.
Ahmad Zamri menegaskan, selari dengan hasrat rakyat, SPKB menuntut agar Rang Undang-Undang Perbadanan Pembangunan Kampung Baru 2010 (RUU PPKB) dimansuhkan.
“Apa sahaja cadangan pembangunan Kampung Baru selepas ini mestilah dilakukan secara telus dan jujur dengan pemilik dan perwaris tanah selepas meminta pendapat, mengambil kira pandangan, dan mendapatkan persetujuan mereka terlebih dahulu sebelum dikemukakan di Parlimen,” ujar beliau.
Menurutnya, SPKB akan meneruskan program-program penerangan dan turun padang untuk menjelaskan kepada semua penduduk, perwaris dan pemilik tanah tentang cadangan pindaan kepada RUU PPKB oleh kerajaan baru-baru ini.
SPKB berpendapat bahawa cadangan pindaan tersebut sangat mengelirukan kerana ia tidak mengubah langsung RUU PPKB yang telahpun dibentangkan untuk bacaan pertama di Parlimen pada 17 Disember 2010.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan
Nota: Hanya ahli blog ini sahaja yang boleh mencatat ulasan.