Halaman

Selasa, 2 Ogos 2011

‘Tiup roh, tegak jati diri’

Bandaraya Kuching perlu diberi wajah tersendiri, diperindahkan dengan sifat mesra masyarakatnya yang akan mencerminkan pembentukan sifat penghuninya.



KUCHING, Isnin – Bandaraya Kuching yang menjadi nadi pentadbiran kerajaan negeri dan memayungi kehidupan rakyat hanya akan mencirikan tamadun yang kukuh apabila ia turut diberi jiwa dan rohnya, tegak dengan jati diri tersendiri.

Ketua Menteri Pehin Sri Haji Abdul Taib Mahmud berkata, perlunya juga bandar raya ini diberi wajah tersendiri, diperindahkan dengan sifat mesra masyarakatnya yang akan mencerminkan pembentukan sifat penghuninya.

Beliau berkata, rakyat dapat melihat sendiri pembangunan pesat yang diusahakan oleh kerajaan di bandaraya ini khususnya dalam semua aspek termasuk fizikal, ekonomi dan sosial demi kesejahteraan rakyat.

“Bandaraya Kuching bertuah kerana mempunyai pemimpin yang berkaliber sebagai Datuk Bandar Dewan Bandaraya Kuching Utara

(DBKU) dan Majlis Bandaraya Kuching Selatan (MBKS) sehingga berjaya membawa bandaraya ini semakin maju dan aktif.

“Bagaimanapun, dalam menjayakan pelaksanaan semua perancangan ke arah menjadikan Kuching semakin maju, selesa dan selamat, jangan kita lupa usaha memupuk semangat perpaduan di kalangan warganya yang diibaratkan seperti ‘roh’ bagi warga bandaraya ini,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap pada Majlis Memperingati Hari Bandaraya Kuching Ke-23 semalam.

Turut hadir isteri Ketua Menteri Puan Sri Raghad Kurdi Taib, Timbalan Ketua Menteri Datuk Patinggi Tan Sri Alfred Jabu dan Menteri

Perumahan dan Pembangunan Bandar Datuk Amar Abang Haji Abdul Rahman Johari Tun Abang Haji Openg.

Taib menzahirkan kekesalan, institusi kejiranan hari ini telah jauh berubah dengan masyarakatnya sudah tidak mesra, perasaan ingin bersahabat serta saling kenal-mengenali juga berkurangan kerana masing-masing sibuk dengan urusan sendiri.

“Kalau dulu, satu jeritan meminta pertolongan memadai membuatkan sekampung keluar menghulurkan pertolongan, tetapi hari ini, semangat seperti ini seperti sudah hilang dalam amalan masyarakat kita,” jelasnya.

Berikutan itu, Taib mengesyorkan supaya diadakan majlis suai-kenal bersama penduduk sebelum penghuni berpindah ke rumah baru di setiap kawasan perumahan di bandaraya ini.

Dalam pada itu, beliau yakin bandaraya ini akan terus berkembang termasuk peningkatan jumlah warga kerana semakin ramai penduduk dari kawasan daerah dan bahagian lain berpindah ke Kuching, kebelakangan ini.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan

Nota: Hanya ahli blog ini sahaja yang boleh mencatat ulasan.