Ahli Parlimen Bakri Er Teck Hwa mengkritik kerajaan yang sibuk berdebat tetapi menganaktirikan peninggalan sejarah Bukit Kepong
PETALING JAYA: Dalam kesibukan Umno – PAS mahu berdebat berkenaan isu Bukit Kepong, ahli Parlimen Bakri Er Teck Hwa mempersoalkan mengapa warisan sejarah Muzium Bukit Kepong tidak dipelihara dan dipulihara oleh pihak berwajib.
“Di manakah keseriusan kita mempertahankan khazanah warisan sejarah Negara? Atau kita hanya menjadi jaguh retorik yang menjerit mengalunkan lagu perjuangan hanya untuk kepentingan politik sendiri sahaja?
“Cukuplah bersandiwara. Jangan jadikan nasib balai muzium ini seperti sebiji bola yang boleh ditendang kepada sesiapa sahaja. Tindakan pemuliharaan perlu dilakukan segera,” kata Er di dalam satu kenyataan media.
Ini kerana tidak terdapat sebarang usaha pemuliharaan secara serius di Bukit Kepong, dakwanya.
“Sejak dilanda tragedi banjir besar tahun 2006, tidak kelihatan tanda-tanda usaha pemuliharaan serius terhadap tapak warisan ini.
“Bahkan, terdapat perancangan untuk membaikpulih tapak warisan sejarah ini di dalam Rancangan Malaysia Ke-9 (RMK9). Tetapi, entah mengapa perancangan itu telah tidak menjadi kenyataan.”
Sambil lewa
Er turut menyatakan bahawa kerajaan bersifat sinis apabila perkara ini ditimbulkan di Parlimen dalam bulan Mac namun Timbalan Menteri Penerangan, Komunikasi, Kesenian dan Kebudayaan ‘secara sinis mengatakan beliau tidak menyediakan jawapan lisan sambil tertawa’.
Beliau turut mengkritik usaha pemuliharaan warisan sejarah negara oleh kerajaan Barisan Nasional dan jabatan kerajaan yang dilihat beliau seperti usaha sambil lewa semata-mata.
“Aspek pemuliharaan monumen atau tapak bersejarah sering tidak mendapat tempat di hati pemerintah (dan) tidak diangkat sebagai tapak warisan negara. Contoh popular adalah kompleks Penjara Pudu yang telah menjadi mangsa kerakusan kapitalis tanpa pembelaan yang sewajarnya daripada pihak terbabit.
“Pemerintah hari ini dan kementerian tersebut melalui Jabatan Warisan Negara perlu lebih serius dalam memulihara tapak bersejarah Bukit Kepong ini.
Beliau menambah bahawa tatkala ada pihak sibuk berbahas di laman maya mengenai tragedi Bukit Kepong tiada pihak yang mempedulikan monumen sejarah yang terus terbiar tanpa pembelaan sewajarnya.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan
Nota: Hanya ahli blog ini sahaja yang boleh mencatat ulasan.