Halaman

Selasa, 6 September 2011

PDC jelas kelewatan projek parkir bertingkat Bukit Bendera

Pengurus besarnya turut menjelaskan bahawa projek tersebut diluluskan sebelum kerajaan Pakatan Rakyat Pulau Pinang dibentuk



PETALING JAYA: Pengurus besar agensi kerajaan Pulau Pinang, Penang Development Corporation (PDC), Datuk Rosli Jaafar tampil menjelaskan bahawa kelewatan projek pembinaan tempat letak kereta bertingkat di Bukit Bendera, Pulau Pinang kerana faktor keselamatan.

“Pihak PDC sebagai agensi yang bertanggungjawab ke atas projek tempat letak kereta bertingkat Bukit Bendera tidak akan berkompromi dari aspek keselamatan pengguna.

“Justeru itu atas dakwaan bahawa bangunan yang dibina tidak selamat, satu badan penyiasatan bebas iaitu pihak Institut Kerja Raya Malaysia (Ikram) dengan kepakaran geoteknikal telah dilantik untuk menyiasat secara menyeluruh keadaan struktur yang dibina,” kata Rosli dalam satu kenyataan media.

Beliau turut menjelaskan langkah-langkah yang telah diambil oleh Ikram untuk memastikan keselamatan projek pembinaan tempat letak kereta bertingkat tersebut.

“Ikram akan memasang ‘settlement markers’ pada 22 bilangan tiang dan akan memantau ‘settlements’ secara berkala setiap tiga bulan untuk tempoh tiga tahun. Dalam tempoh ini, bangunan dapat beroperasi sepenuhnya.

“Sekiranya hasil pemantauan ‘penempatan’ adalah baik, maka langkah mengukuhkan asas bangunan dapat dikurangkan atau tidak diperlukan sama sekali.

“Sekiranya hasil pemantauan ‘penempatan’ menunjukkan terdapat bacaan yang tidak memberangsangkan, langkah seterusnya adalah berkemungkinan memberhentikan operasi bangunan sementara waktu dan melaksanakan ‘kerja asas’ yang dianggarkan berjumlah RM1.5 juta dan mengambil masa enam (6) bulan dan juga membuat pembaikan terhadap sebarang kerosakan pada bangunan.

Kelulusan kerajaan pusat

Dari segi kelulusan, Rosli turut menjelaskan bahawa kelulusan projek tersebut telah diberikan oleh kerajaan persekutuan dan kerajaan Pulau Pinang dalam tahun 2007.

Kemudahan-kemudahan yang disediakan di tapak tersebut adalah atas kehendak serta kelulusan Majlis Tindakan Pelancongan Negeri Pulau Pinang di bawah Kementerian Pelancongan.

Peruntukan bagi projek ini diluluskan oleh Kementerian Pelancongan Malaysia di bawah RMK9. Jumlah siling peruntukan yang diluluskan adalah berjumlah RM5.0 juta.

“Lantaran itu, Ketua Menteri Lim Guan Eng turut tidak dimaklumkan”, ujar Rosli.

Walau bagaimanapun Rosli berkata bahawa PDC akan akur dengan arahan yang dikeluarkan oleh Majlis Perbandaran Pulau Pinang (MPPP) dan tidak akan dapat sebarang layanan khas hanya kerana PDC adalah agensi kerajaan negeri ataupun projek ini adalah projek Kementerian Pelancongan.

Beliau turut menyatakan bahawa PDC telah mengadakan lawatan bersama dengan Setiausaha MPPP, Ang Aing Thye semalam untuk mencapai penyelesaian bersama.

Dalam perkembangan berkaitan, Ketua Parti Kesejahteraan Insan Tanah Air (KITA) Pulau Pinang, Tan Tee Beng yang juga adalah ahli parlimen Nibong Tebal telah membuat laporan kepada Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) ekoran dakwaannya bahawa Lim Guan Eng menyalurkan dana RM50 juta walaupun projek itu tidak mendapat kelulusan MPPP.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan

Nota: Hanya ahli blog ini sahaja yang boleh mencatat ulasan.