HALAMAN SANTAI

Ahad, 4 September 2011

Program Pemuda Umno rendah-rendahkan martabat perajurit

KEADILAN DAILY

KUALA LUMPUR: Lebih baik Pemuda Umno menyalurkan masa, wang ringgit dan tenaga untuk membantu bekas perajurit tanah air yang memerlukan bantuan daripada menganjur program jelajah yang semata-mata bertujuan mencerca pimpinan Pakatan Rakyat.

Naib Presiden KEADILAN, Nurul Izzah Anwar berkata, keraguan timbul apabila mereka beriya-iya perjuangkan nasib bekas perajurit tetapi tidak menumpukan usaha membantu bekas perajurit mahupun yang masih berkhidmat.

“Mereka sebenarnya hanya berminat untuk mencerca PAS dan Mohamad Sabu. Bukankah Utusan Malaysia kawalan mereka sudah cukup untuk mencerca?” katanya pada kenyataan media, hari ini.

Semalam, Ketua Pemuda Umno, Khairy Jamaluddin mengumumkan rancangan untuk menganjur siri jelajah ceramah iaitu ‘Pentas Patriot’ bagi menghentam Mohamad Sabu berkaitan ceramahnya yang menjadi kontroversi.

Nurul Izzah berkata, Pemuda Umno sepatutnya membantu bekas perajurit yang berjuang sewaktu Perang Dunia Kedua kerana ada antara mereka yang belum menerima pampasan atau bantuan.

“Jika benar-benar mahu perjuangkan nasib perajurit, beliau berkata, Umno harus perjuangkan hak perajurit untuk mengundi dengan bebas dan adil, bukannya mempertahan sistem undian pos,” katanya.

Ahli Parlimen Lembah Pantai itu juga menganggap kerajaan Umno mempersenda sumbangan perajurit apabila terus mengekalkan empat perisytiharan darurat walaupun Malaysia sudah 54 tahun merdeka.

“Ini menunjukkan Umno merendah-rendahkan martabat perajurit dan memperlekeh perjuangan mereka selama ini, kononnya negara belum selamat. Atau adakah Umno sebenarnya memerlukan perisytiharan darurat ini demi masa depan politik sempit mereka?” katanya.

Tiada ulasan: