KUALA LUMPUR — Mufti Perlis, Dr Juanda Jaya hari ini menuntut agar Prosedur Operasi Standard (SOP) Jabatan Pendaftaran Negara (JPN) disemak semula kerana menimbulkan kekeliruan terhadap rakyat.
Beliau turut mempertikaikan prosedur JPN yang memerlukan salinan surat nikah warganegara Malaysia untuk permohonan kad pengenalan anaknya, dan bukannya salinan asal surat nikah untuk menentukan keaslian kewarganegaraan seseorang.
“Isu utama sebenar yang belum terjawab hingga hari ini ialah kenapa pihak JPN perlukan salinan, dan bukannya surat nikah asal bagi mengesahkan kewarganegaraan seseorang individu rakyat Malaysia sewaktu memohon Mykad anaknya?
“Begitu juga dipinta lagi sewaktu memohon untuk membuat Passport Antarabangsa.
“Apakah tidak cukup dengan surat beranak asal pemohon dan MyKad asal bapa pemohon bagi mengesahkan keaslian kewarganegaraan pemohon, seperti yang dinyatakan di papan kenyataan JPN sendiri?” katanya dalam satu kenyataan kepada The Malaysian Insider hari ini.
“SOP sebeginilah yang wajar disemak semula,” katanya lagi.
Juanda (gambar) turut mempersoalkan status anaknya yang masih lagi ‘bukan warganegara’ di dalam sistem JPN.
Menurutnya, surat beranak anaknya yang berusia 12 tahun sudah menunjukkan status kewarganegaraan, tetapi mengapa anaknya itu masih lagi tidak diiktiraf sebagai warganegara.
“Kenapa status anak saya selama 12 tahun ini masih lagi bukan warganegara, sedangkan surat beranaknya menyatakan dia merupakan warganegara, begitu juga pasport antarabangsanya turut menyatakan perkara yang sama.
“Kalaulah benar status dia sudah dikemaskini pada 12 Jun 2009 seperti kenyataan rasmi KDN semalam, maka mengapa pada 23 Disember 2011, status itu masih menunjukkan dia bukan warganegara?” soalnya lagi.
Jelas Juanda, beliau melihat sendiri data berkenaan di skrin komputer JPN seperti yang ditunjukkan kakitangan jabatan terbabit yang menunjukkan status anaknya masih kekal bukan warganegara.
“Dua perkara ini belum terjawab walaupun pihak KDN menyatakan kad pengenalan anak saya sudah siap dan boleh diambil,” tegasnya.
Tambah Juanda, beliau bukan sengaja mahu mensensasikan perkara ini, tetapi menurutnya, ini merupakan hak peribadinya sebagai rakyat.
Dalam kenyataannya itu, Juanda turut berterima kasih kepada keprihatinan Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein yang dikatakan turut membantunya menyelesaikan perkara tersebut.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan