HALAMAN SANTAI

Sabtu, 24 Disember 2011

MB Minta SPAD Keluar Lesen Pada PBT Untuk Kendali Laluan Bas

Oleh:TV Selangor


SHAH ALAM : Menteri Besar Selangor, Tan Sri Khalid Ibrahim berkata Suruhanjaya Perkhidmatan Awam Darat (SPAD) boleh mengeluarkan lesen kepada Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) untuk mengendalikan operasi bas henti-henti ekoran keputusan Konsortium Transnasional Berhad (KTB) untuk menghentikan perkhidmatan di empat laluan yang tidak menguntungkan.


Sehubungan itu Khalid mengarahkan Majlis Perbandaran Klang (MPK), Majlis Daerah Kuala Langat (MDKL), Majlis Daerah Kuala Selangor (MDKS) dan Majlis Daerah Sabak Bernam (MDSB) untuk membantu SPAD mengenal pasti laluan-laluan yang perlu diberi keutamaan dalam perancangan baharu tersebut.

Beliau membuat arahan tersebut di Mesyuarat Tindakan Ekonomi Negeri Selangor semalam selepas mendengar taklimat dari SPAD tentang perancangan dalam membangunkan perkhidmatan bas di Selangor.

Dalam taklimat SPAD, kerajaan negeri telah dimaklumkan bahawa SPAD sedang membuat perancangan mengagihkan perkhidmatan bas ke kawasan-kawasan laluan sosial di empat kawasan PBT tersebut yang dikatakan tidak menguntungkan.

"PBT perlu mengenal pasti laluan-laluan aktif, tidak aktif dan laluan yang belum ada tetapi memerlukan perkhidmatan bas henti-henti untuk dipertimbangkan oleh SPAD," kata Menteri Besar.

Menteri Besar berkata, pilihan lain yang boleh difikirkan ialah dengan SPAD mengeluarkan lesen kepada PBT untuk mengendalikan operasi bas henti-henti bagi laluan-luan yang telah dikenal pasti.

"Tambang yang akan dikenakan PBT ini hanya cukup untuk menampung kos operasi bas henti- henti dan bukan berunsur keuntungan tetapi lebih kepada menjalankan tanggungjawab sosial," kata Menteri Besar.

Tiada ulasan: