NGO itu juga menuding jari kepada Setiausaha Agung PAS, Datuk Mustafa Ali yang menurutnya terlalu keras mencari kesalahan Dr Hasan.
PETALING JAYA: Umno Selangor menafikan mereka di belakang krisis dalaman PAS yang semakin panas tetapi sebuah NGO pro parti itu mendakwa dua tokoh besar PAS negeri cemburu dengan Datuk Dr Hasan Ali.
Gabungan Anti Penyelewengan Selangor (GAPS) mendakwa pengaruh dan populariti Pesuruhjaya PAS negeri Dr Abdul Rani Osman dan timbalannya Khalid Samad – yang didakwa penyokong kumpulan Erdogan gagal menyaingi Dr Hasan.
Erdogan merujuk kepada pembaharuan yang diketuai oleh ketua pembangkang, Datuk Seri Anwar Ibrahim.
Manakala kumpulan ulama adalah para pemimpin PAS yang berpegang teguh kepada Islam, mereka termasuk Presiden Datuk Abdul Hadi Awang dan Ketua Ulama, Datuk Harun Taib.
Pengerusi GAPS Hamidzun Khairuddin berkata, konflik dalam PAS Selangor kerana persaingan antara kumpulan ulama yang diketuai Dr Hasan dengan kumpulan pro Erdogan yang diwakili Dr Rani dan Khalid.
Pengaruh Dr Hasan besar
“Walaupun digugurkan dari jawatan pesuruhjaya PAS Selangor tetapi penyokongnya lebih ramai dari Dr Abdul Rani dan Khalid.
“Ini yang ditakuti Dr Rani dan Khalid. Penyokong dan pengaruh Dr Hasan lebih besar dari mereka berdua.
“Dr Rani dan Khalid sedar mereka hanya pemimpin PAS peringkat negeri sahaja berbanding Dr Hasan yang popular di seluruh negara kerana pernah menjadi naib presiden.
“Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim sendiri tidak berani pecat Dr Hasan dari kabinet negeri,” tambahnya.
Hamidzun juga menuding jari kepada Setiausaha Agung PAS, Datuk Mustafa Ali yang menurutnya terlalu keras mencari kesalahan Adun Gombak Setia itu.
Dipandang serong
Menurut Hamidzun lagi, pembabitan aktif dan Himpun menyebabkan pemimpin PAS benci kepada Dr Hasan.
Katanya, pembabitan Dr Hasan itu telah dipandang serong oleh pucuk pimpinan PAS Selangor.
PAS menentang penubuhan Himpun kerana mendakwa boleh menimbulkan ketegangan kaum.
Sementara itu, Ketua Penerangan Umno Selangor, Abdul Syukur Idrus pula berkata Dr Hasan bertindak sendirian dan bukannya dipengaruhi oleh sesiapa.
Beliau juga mencabar PAS menunjukkan bukti bahawa Umno terbabit dengan isu tersebut.
“Jangan bercakap sahaja, saya mahu PAS tunjuk bukti sekarang.
“Saya rasa Dr Hasan telah sedar bahawa Umno lebih memperjuangkan Islam dari PAS,” katanya lagi.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan