HALAMAN SANTAI

Khamis, 26 April 2012

Aktivis SMM, DBKL 'bertembung' di Dataran

Mohd Zulfadli Sharifudin

KUALA LUMPUR - Aktivis mahasiswa dan Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) 'bertembung' sekali lagi malam tadi - pada hari ke-12 sekumpulan penuntut dan aktivis menuntut pemansuhan Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN) berhimpun di Dataran Merdeka.

Kira-kira jam 9.45 malam tadi, anggota penguat kuasa DBKL bertindak merobohkan khemah-khemah Solidariti Mahasiswa Malaysia (SMM) yang menaikkan semula empat khemah.

SMM mendirikan khemah malam ini selepas ia dirobohkan buat kali kedua awal pagi kelmarin.
Tindakan itu cuba dihalang oleh SMM.

Ekoran itu, berlaku sedikit kekecohan, tetapi tiada kejadian tidak diingini berlaku.

Sehubungan itu, kira-kira 30 mahasiswa melaungkan takbir "Allahuakbar" dan "Student Power" bagi menghalang kira-kira 60 anggota DBKL daripada mencabut khemah-khemah yang didirikan.

Kedua-dua pihak juga kelihatan mengadakan perbincangan secara baik.

Akhirnya, aktivis mahasiswa mengalah dan duduk di atas tikar manakala khemah-khemah disimpan semula.
Tinjauan Sinar Harian Online mendapati DBKL tidak berganjak dan terus mengawasi keadaan di situ.

Aktivis mahasiswa membantah PTPTN dan Occupy Dataran berhimpun di Dataran Merdeka sejak 14 April lalu.

Selepas kejadian tadi, ceramah diteruskan oleh Pesuruhjaya Pas Selangor, Dr. Abdul Rani Osman.

Ahli Dewan Undangan Negeri Meru ini antara berkata, "kami menyokong kuat isu PTPTN yang dituntut mahasiswa ini."

"DBKL tidak sepatutnya menyerbu  mahasiswa yang berhimpun di sini secara aman dan tenang tanpa sebarang kekacauan. Kami sangat kesal," tegas beliau.

"Teruskan duduk di sini (Dataran Merdeka) walau apa jua ujian dan rintangan. Kami ucap tahniah kepada kamu semua (SMM) kita akan minta unit AMAL awasi mereka di sini.

"Pas menyokong penuh usaha anda dan memberi solidariti terhadap mahasiswa," ujar beliau dan turut memberi sumbangan kepada SMM.

SMM juga menegaskan mereka akan terus berhimpun sehingga Sabtu ini tidak kira apa pun yang terjadi.

Tiada ulasan: