Halaman

Selasa, 3 April 2012

Bekas anggota polis kecewa tak terima ganjaran

MALAYSIA KINI

Seorang anggota pesara polis, Ibrahim Yasin, 83, dari Taman Kenari di Kulim berasa hampa kerana masih belum menerima ganjaran RM3,000 seperti diumumkan perdana menteri baru-baru ini.

"Saya amat kecewa dan selalu tertanya-tanya kenapa saya seorang saja tidak mendapat bantuan itu," kata pesara polis itu yang pernah bertugas sebagai 'Special Constable' atau SC sebelum menyertai pasukan polis, ketika ditemui di rumahnya semalam.

Datuk Seri Mohd Najib Tun Abdul Razak ketika mengemukakan belanjawan 2012 di Parlimen berkata anggota polis yang berkhidmat ketika zaman darurat 1948 hingga 1960 dan 1969 hingga 1989 layak mendapat ganjaran RM3,000 tiap seorang.

Ibrahim yang bertugas selama 34 tahun sebagai anggota polis selepas perang dunia kedua hingga bersara pada 1983, kini tinggal bersendirian bersebelahan rumah salah seorang daripada 15 orang anaknya sejak kematian isterinya 36 tahun lalu.

Menurutnya, yang kini mengalami masalah pendengaran akibat kemalangan semasa bertugas, beliau telah mengisi borang seperti yang dikehendaki pihak berkenaan beberapa bulan lalu.

"Namun sehingga ke hari ini tiada pun sebarang surat menyurat mengenai permohonan itu yang diterima. Walau bagaimanapun saya akan terus menunggu," kata Ibrahim.

Beliau berkata selepas diserapkan ke Pasukan Polis beliau pernah bertugas di Kem Polis Hutan (kini Pasukan Gerakan Am, PGA) Hulu Kinta, Ipoh, selama lebih 15 tahun sebelum berkhidmat dalam pasukan polis biasa di beberapa tempat termasuk di Kulim dan akhir sekali di Kajang, Selangor pada 1983.

Ibrahim yang berasal dari kampung Sungai Ijai, Beranang, Selangor berpangkat koperal ketika bersara dan menerima bayaran pencen kira-kira RM1,000 sebulan.

Beliau mempunyai 15 orang anak, 10 daripadanya perempuan dan dua daripada anaknya berkhidmat sebagai anggota polis.

Sementara itu, Penyelaras Barisan Nasional (BN) Kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) Kulim, Chuah Teong Ghee berkata beliau akan menemui Ibrahim untuk mendapatkan maklumat terperinci mengenai masalahnya supaya dapat diselesaikan. Bernama

Tiada ulasan:

Catat Ulasan

Nota: Hanya ahli blog ini sahaja yang boleh mencatat ulasan.