Kerajaan
Kedah mempersoalkan tindakan seorang kerabat diraja negeri yang membuat
laporan polis kerana tidak berpuas hati terhadap penggubalan
undang-undang di Dewan Undangan Negeri (DUIN) bagi menghalang fatwa
dicabar di mahkamah.
Exco Agama, Pelajaran dan Koperasi negeri Kedah Datuk Mohamed Taulan Mat
Rasul berkata, tindakan itu tidak wajar kerana sebelum pindaan terhadap
Enakmen Mufti dan Fatwa Negeri Kedah 2008 dibentangkan, Sultan Kedah
sudah memperkenankannya.
"Tuanku sudah bersetuju. Sebelum kita bentangkan, kita mengadap Tuanku
dan dah dapat perkenan pun. Buat apa ada yang nak buat laporan polis
semua?” kata Mohamad Taulan.
Pada 22 April lalu, Tunku Mansor Tunku Kassim membuat laporan di
ibupejabat polis Alor Setar kerana mendakwa pindaan tersebut memberi
kuasa penuh kepada mufti dan jawatankuasa fatwa.
Dalam laporan itu, Tunku Monsor - anak Tunku Kassim yang menyandang
jawatan Tunku Laksamana Kedah sebelum mangkat - mendakwa, Seksyen 22A
yang diluluskan seolah-olah merendahkan kewibawaan, kedaulatan dan kuasa
Sultan kedah sebagai ketua agama Islam negeri.
Sementara itu, ketika ditanya tentang pandangan tokoh agama yang
mempersoalkan tindakan Kedah itu, Mohamed Taulan berkata, kenyataan itu
dikeluarkan disebabkan kurang faham dan kurang maklumat.
Mufti dan bekas mufti Perlis – Dr Juanda Jaya dan Dr Mohd Asri Zainul
Abidin – sebelum ini menyambut dingin tindakan itu dengan menganggapnya
sebagai menyalahi amalan ulama besar, tidak demokratik dan “mematikan
intelektual”.
"Mereka ini tidak baca keseluruhan enakmen," katanya ketika dihubungi Malaysiakini semalam.
'Mufti Perlis, Asri kurang faham'
Jelasnya, pihak yang mengeluarkan kenyataan berhubung isu ini sepatutnya
berjumpa terlebih dahulu dengan kerajaan negeri sebelum memberi
sebarang komen.
"Mereka patut datang dan jumpa dengan kita. Dia tak jumpa dah nak komen.
Mereka ini kurang maklumat dan kurang faham tentang enakmen ini,” kata
Mohamad Taulan.
Jelasnya, pindaan terhadap seksyen 22A itu harus dibaca bersama dengan
Seksyen 23 yang menjelaskan fatwa boleh dikaji semula dan dirujuk kepada
jawatankuasa fatwa.
“Kita akan rujuk orang bijak pandai dalam agama dan berbincang balik
kalau ada yang tak puas hati tentang sesuatu fatwa," katanya lagi.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan