Pengerusi Pusat Kajian Fiqh Kontemporari Nasharudin Mat Isa berkata,
semua pihak perlu berganding bahu memastikan generasi muda bebas
daripada gejala LGBT kerana mereka merupakan bakal pemimpin serta
pewaris untuk mengemudi negara ini dengan akhlak yang baik serta
terpuji.
Oleh itu, bekas Timbalan Presiden Pas itu berkata, demi masa depan dan
akidah generasi muda, isu LGBT tidak boleh dipolitikkan .
“Ini bukan sesuatu yang boleh dipolitikkan kerana ia melangkaui politik
dan kita jangan hanya kejar pembangunan sehingga terikut dengan budaya
negatif Barat,” katanya kepada pemberita selepas membentangkan kertas
kerja pada “Wacana Kemungkaran LGBT: LGBT Mengundang Bala Allah SWT” ,
semalam.
Nasharudin berkata, wacana seumpama itu merupakan satu gerakan bagi
menyedarkan rakyat serta memastikan mereka tidak terjebak serta
menyokong golongan ini.
Sementara itu, Ahli Jawatankuasa Biro Undang-undang Majlis Agama Islam
Wilayah Persekutuan Mahamad Naser Disa turut berkongsi pendapat sama
dengan Nasharudin agar isu LGBT, yang jelas melanggar prinsis asas
agama, tidak dipolitikkan kerana ia boleh menyekat usaha untuk membela
agama Islam.
“Islam adalah agama rasmi negara, saya tidak kisah sebarang
kecenderungan politik, jika ada parti yang menyokong Alhamdulillah
tetapi saya tidak mengaitkan diri saya dengan politik,” katanya.
Mahamad Naser turut menyelar pihak yang cuba mempertahankan golongan
LGBT serta memberi sokongan kepada golongan itu memperjuangkan hak bagi
mendapatkan tuntutan yang mereka inginkan.
“Ia seolah-olah mempopularkan golongan ini bila ada pihak yang
mempertahankan mereka sedangkan golongan ini ternyata sekali pelaku
orientasi seks yang dilarang di dalam undang-undang dan mencabar
ketentuan Tuhan,” katanya.
Wacana sehari ini dihadiri kira-kira 100 peserta daripada segenap
lapisan masyarakat anjuran Pertubuhan Muafakat Sejahtera Masyarakat
Malaysia - Bernama
Tiada ulasan:
Catat Ulasan