HALAMAN SANTAI

Rabu, 25 April 2012

Sistem pendidikan yang songsang di bawah UMNO menggagalkan penyatuan kaum

  Moaz Nair, Malaysia Chronicle



UMNO masih gagal dalam menyatu padukan rakyat Malaysia walaupun setiap hari ketuanya melaungkan slogan 1Malaysia. 1Malaysia tidak membawa apa-apa erti dalam konteks pendidikan negara jika masyarakat masih berpecah belah. Rakyat pada hari ini masih melihat unsur-unsur kelainan layanan kepada penduduk yang berbeza etnik walaupun negara sudah mencapai kemerdekaan hampir 6 abad yang lalu.

Bumiputera dan bukan bumiputera

Apakah UMNO ikhlas apabila membicarakan perihal perpaduan kaum di Malaysia atau ini hanya merupakan suatu retorik, impian atau ideologi politik semata-mata? Setelah 55 tahun negara merdeka, kita masih melihat sistem pendidikan negara yang diamalkan sekarang tidak dapat menawan hati rakyat Malaysia.

Pertama, kanak-kanak Malaysia masih yang masih di bangku sekolah sudah diberi label “bumiputera” dan “bukan bumiputera” walaupun negara sudah merdeka sekian lama dan mereka dilahirkan di negara ini. Ini dengan sendirinya mencetuskan perbezaan identitidalam kalangan masyarakat berlainan etnik dan telah memberi laluan kepada warga “bukan bumiptera” untuk mencari haluan pendidikan yang berbeza yang boleh mengukuhkan identiti mereka secara tersendiri.

Kajian sosiologi telah menunjukkan mana-mana kumpulan manusia yang disisihkan daripada norma masyarakat majoriti akan berusaha mencari indentiti mereka tersendiri. Inilah fenomena yang terdapat dalam masyarakat Malaysia sekarang. Ini juga mencerminkan kegagalan UMNO dan Barisan Nasional (BN) dalam menangani masalah pendidikan negara kerana parti-parti komponen BN memang berbau perkauman.

Ini adalah akibat kegagalan UMNO dan juga komponen parti dalam BNdalam melaksanakan suatu sistem pendidikan yang boleh membawa kepada penyatuan dalam masyarakat.

Etnik Cina mencari identiti melalui sekolah Cina, etnik India dengan sekolah aliran Tamil dan yang menjadi ironis pula terdapat ethnik Melayu yang cuba mengukuhkan identiti Muslim mereka melaui sekolah agama. Dalam hal ini, sekolah kebangsaan dipinggirkan kebanyakan masyarakat di negara ini.

Sekolah berlainan bercorak jenis kebangsaan (vernacular) seperti ini pernah diadakan di Singapura pada masa awal negara itu keluar dari Malaysia (akhir 60-an). Sistem ini gagal mendapat sambutan rakyat negaranya yang berlainan etnik apabila sekolah aliran Inggeris mula diwujudkan serentak.

Singapura lebih berjaya

Sekolah aliran Ingeris di Singapura lebih berjaya membawa semua kumpulan etnik di bawah satu bumbung dalam sistem pendidikan negara ini. Inilah rahsia kejayaan pendidikan di Singapura yang tidak pernah berdolak-dalih sehingga sekarang.

Dalam konteks Malaysia pula jika Bahasa Inggeris dapat diperkasakan di sekolah kebangsaan, ini sudah tentu dapat menarik lebih ramai kanak-kanak daripada pelbagai keturunan belajar di bawah satu bumbung. Tetapi, sehingga hari ini tahap pengajaran dan pencapaian Bahasa Inggeris di sekolah kebangsaan tidak langsung memberangsangkan.

Dalam sistem pendidikan negara didapati segolongan besar etnik Cina lebih beminat menghantar anak mereka ke sekolah Cina, sebilangan besar etnik India pula lebih berminat menghantar anak mereka ke sekolah Tamil, walaupun kebanyakan sekolah jenis ini dalam keadaan yang daif dan tidak mempunyai kemudahan yang cukup. Mereka tidak boleh dipersalahkan kerana sistem yang adasekarang telah memberi identiti atau status kerakyatan yang berbeza kepada kanak-kanak sejak mereka dilahirkan lagi.

Ada pula satu golongan etnik Melayu yang lebih cenderung menghantar anak mereka ke sekolah yang bercirikan agama. Tidak kurang juga etnik Melayu dan kaum-kaum lain yang berpendidikan tinggi dan menggolongkan diri mereka sebagai elit di dalam masyarakat, memandang rendah terhadap sekolah kebangsaan dan sanggup menghantar anak mereka ke sekolah swasta dan sekolah antarabangsa.

Mencerai beraikan kanak-kanak

Golongan minoriti lain pula, jika diberi peluang, mungkin ingin menghantar anak-anakmereka ke sekolah jenis kebangsaan di mana bahasa ibunda mereka menjadi bahasa pengantar. Fenomena ini semakin ketara kini walaupun negara sudah mencapai kemerdekaan sekian lama.

Dasar inilah yang mencerai-beraikan kanak-kanak sekolah sejak di bangku sekolah lagi. UMNO dengan sistem pendidikan yang ada telah gagal dalam menyatu padukan rakyat Malaysia.

Jika dilihat di sektor pekerjaan, didapati sektor kerajaan lebih banyak dipenuhi golongan bumiputera dan kebanyakan sektor swasta pula berjaya didukung bukan bumiputera. Memang wujud budaya hidup yang berbeza antara kedua-dua sektor ini.

Di sudut pendidikan tinggi pula, didapati sektor pendidkan swasta lebih ramai terdiri daripada golongan bukan bumiputera. Ibu bapa bukan bumiputera menghantar anak mereka belajar di luar negara atau di institusi swasta tempatan untuk masa depan yang lebih cerah.

Mereka sanggup bersaing dengan kaum-kaum lain untuk berjaya dalam pelajaran. Kebanyakan golongan bumiputera pula lebih cenderung melanjutkan pelajaran di universiti awam (IPTA) dan UiTM. Mereka didapati lebih suka bersaing sesama sendiri.

Penguasaan bahasa asing

Terdapat kelainan dan jurang yang besar antara bumiputera dan bukan bumiputera dari segi penguasaan bahasa asing dan daya saing. Selain itu, masing-masing kaum pula hidup dengan sikap dan budaya kerja tersendiri.

Pemisahan sikap dan budaya hidup sebegini telah menjurangkan lagi perpaduan rakyat apabila majikan lebih cenderung dan selesa menerima dan menggunakan pekerja yang sekaum dan sehaluan dengan budaya kerja mereka untuk berurusansesama mereka dan juga dengan pelanggan.

Jika dilihat pada petanda-petanda yang sedang menular di dalam masyarakat majmuk Malaysia di bawah pemerintahan UMNO, rakyat Malaysia masih jauh ketinggalan dalam mencorakkan Bangsa Malaysia atau 1Malaysia yang boleh dibanggakan oleh rakyat. Malah apa yang dihasratkan oleh pemimpin-pemimpin masyarakat terutama dalam UMNO untuk mencorakkan satu bangsa yang bersatu, mungkin tinggal sebagai slogan impian sahaja.

Sistem pendidikan negara seharusnya memainkan peranan yang penting untuk menyatupadukan rakyat Malaysia. Sekolah kebangsaan seharusnya dipertingkatkan dari segi kualiti dan daya saing dan dijadikan teras untuk memupukkan semangat perpaduan yang sejati dan sekolah ini seharusnya menjadi pilihan utama rakyat Malaysia. Bahasa ibunda harus dtawarkan di semua sekolah kebangsaan untuk menarik lebih ramai etnik yang berlainan. Pengajaran Bahasa Inggeris wajib diperkasakan.

Satu sistem – STPM, Matrikulasi atau Asasi

Bahasa Melayu perlu dikenali sebagai Bahasa Malaysia bagi mencerminkan bahasa negara kepunyaan semua rakyat Malaysia. Sekolah kebangsaan perlu bersifat berkecuali dari segi agama dan ras dan juga haruslahmemberi layanan yang setaraf kepada semua rakyat Malaysia untuk belajar tanpa mengira agama atau kaum. Tidak wajar lagi diadakan sekolah, kolej atau universiti hanya untuk satu kaum sahaja.

Peperikaan untuk memasuki universiti harus diasaskan pada satu sistem peperksaan – STPM, Matrikulasi atau Asasi (Foundation)–untuk semua pelajar. Bukan STPM untuk bukan bumiputera dan Matrikulasi untuk bumiputera. Jika tidak, jadikan sahaja SPM sebagai landasan utama bagi pelajar masuk ke universiti.

Setiap universiti harus mengambil pelajar daripada semua golongan etnik untuk mewujudkan perpaduan kaum yang sejati. Pengiktirafan universiti luar negara tidak boleh diasaskan pada sentimen perkauman.

Para guru dan pensyarahpusat pendidikan pula hendaklah terdiri daripada pelbagai kaum. Jika sekolah kebangsaan bercorak pelbagai kaum – daripada guru hinggalah ke pelajar –dan dapat puladiajar bahasa ibunda kepada semua kaum (jika ada permintaan), ini dapat menarik minat pelajar daripadasemua kaum belajar bersama di bawah satu bumbung.

Persaingan yang sihat

Selain itu, Jika semua sekolah dan institusi pengajian tinggi di dalam negara terdiri daripada pelajar berbilang kaum ini akan membuka jalan kepada semua rakyat Malaysia untukbersatu padu serta belajar dalam suasana persaingan yang sihat.

Rakyat sudah bosan dengan sistem pendidikan yang ada sekarang di bawah UMNO. Kerajaan yang akan menggantikan BNnanti harus peka terhadap pentingnya penyatuan kaum dalam negara ini. Diskriminasi dalam pendidikan harus dikikiskan supaya masyarakat tidak berasa tersinggung. Teras penyatuan bangsa memang bermula dari sekolah.

Tidak harus berlaku diskriminasi terhadap mana-mana kaum dalam sistem pendidikan negara.
Jika setiap kaum inginkan kelainan daripada kaum yang lain, dengan mewujudkan pengenalan yang tersendiri melalui sistem pendidikan yang berbeza dan institusi pendidikan pula hanya dapat menarik sesuatu kaum sahaja, maka cita-cita untuk mewujudkan perpaduan kaum yang murni hanya akan tinggal sebagai impian semata-mata. Sistem pendidikan haruslah berkesan untuk menjadikan rakyat Malaysia hidup sebagairakyat yang bersatu padu.

Inilah harapan rakyat kepada kerajaan alternatif nanti. Jadikanlah pendidikan teras bagi penyatuan semua kaum di Malaysia supaya setiap rakyat yang dilahirkan di bumi ini diberi peluang pendidikan yang sama. Barulah mereka tidak akan berasa tersisih dalam negara yang mereka cintai.Malaysia Chronicle

Tiada ulasan: