Halaman

Jumaat, 1 Jun 2012

Dokumen rahsia Tentera Laut M'sia didakwa dijual pada $57.5 juta


Editor Buletin

Satu dokumen rahsia mengenai penilaian Tentera Laut Malaysia terhadap kapal selam Scorpene yang dirancang dibelinya didakwa dijual oleh Terasasi (Hongkong) Ltd kepada syarikat gergasi peralatan pertahanan Perancis, DCNS, pada harga 36 juta euro ($57.5 juta), kata seorang peguam yang terbabit dalam siasatan kes pembelian kapal selam berkenaan antara DCNS dengan Kementerian Pertahanan Malaysia.

Abdul Razak Baginda (gambar), bekas ketua kumpulan pakar yang terbabit dalam kes pembunuhan wanita Mongolia, Cik Altantuya Shaariibuu, pada 2006 tetapi kemudian dibebaskan, disenaraikan sebagai pengarah Terasasi bersama bapanya, Encik Abdul Malim Baginda.

Syarikat itu sebelum ini ditubuhkan pada 28 Jun 2002 dengan nama Kinabalu Advisory and Support Services Ltd, kata Pejabat Pendaftar Syarikat Hongkong.

Maklumat itu bermaksud digunakan bagi tujuan kerja-kerja "kejuruteraan komersial", kata peguam Perancis, Encik Joseph Breham, yang mewakili kumpulan hak asasi, Suara Rakyat Malaysia (Suaram), dalam siasatan yang sedang dijalankan di Paris itu, pada satu sidang akhbar di Bangkok, kelmarin.

Suaram memfailkan aduan di mahkamah Perancis berkaitan kes pembelian kapal selam itu pada 2009.

Panel mahkamah yang terdiri daripada dua hakim itu meminta laporan urus niaga kewangan syarikat tersebut, kata Encik Breham.

"Mereka diberi maklumat yang ada dalam Internet dan akhbar kecuali satu dokumen ini... Ia dokumen rahsia oleh Tentera Laut Malaysia, satu penilaian bagi tempahan kapal selam, satu laporan amat rahsia," tambahnya. - Agensi.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan

Nota: Hanya ahli blog ini sahaja yang boleh mencatat ulasan.