Halaman

Rabu, 4 Julai 2012

Hutang Talam: BN S’gor tidak gentar disaman

 
Koordinator BN Selangor Datuk Seri Ir Mohd Zin Mohamed sebaliknya berkata, pihaknya mengalu-alukan tindakan yang mahu diambil Menteri Besar itu.




SHAH ALAM: Barisan Nasional (BN) Selangor tidak gentar sekiranya kerajaan negeri mahu memfailkan saman mengenai dakwaan penyelewengan lebih RM1 bilion bagi menyelamatkan syarikat pemaju tersenarai Talam Corporation Bhd.

Koordinator BN Selangor Datuk Seri Ir Mohd Zin Mohamed sebaliknya berkata, pihaknya mengalu-alukan tindakan yang mahu diambil Menteri Besar Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim itu.

Malah beliau berkata pihaknya akan terus mendedahkan penyelewengan tersebut dari semasa ke semasa.

“Kita jemput beliau kemukakan saman,” katanya dalam sidang media di Bangunan Umno Selangor di sini hari ini.

Khalid dalam sidang media selepas mempengerusikan mesyuarat mingguan exco di sini hari ini berkata, kerajaan negeri tidak teragak- agak menyaman sesiapa sahaja yang menyebarkan dakwaan penyelewengan Talam.

Menganggapnya sebagai fitnah sehingga mampu mencemarkan imej kerajaan negeri, Khalid berkata pihaknya kini sedang berbincang dengan peguam untuk mengambil tindakan sewajarnya.

Bagaimanapun, Mohd Zin menyelar Khalid yang cuba memberi tekanan dengan menakut-nakutkan pihak yang cuba mendedahkan penyelewengan Talam.

Katanya, Khalid perlu menjawab persoalan ini dengan berhemah, dan bukannya mengugut untuk memfailkan saman. Kita mahukan penjelasan kukuh, bukannya ugutan,” katanya.

Beliau turut mempersoalkan janji Khalid sejak 2009 yang mahu mengemukakan ‘kertas putih’ Talam dalam Dewan Undangan Negeri (Dun), namun gagal dibentangkan sehingga sekarang.

“Sudah dua tahun sampai sekarang tak bentang…adakah menteri besar takut nak dedahkannya,” soalnya.

Sehubungan itu, beliau berkata BN Selangor akan membuat tindakan susulan dengan mengemukakan aduan kepada Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), laporan polis, termasuk kepada Suruhanjaya Sekuriti (SC) dan Bursa Saham.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan

Nota: Hanya ahli blog ini sahaja yang boleh mencatat ulasan.