Halaman

Selasa, 25 September 2012

Nasharuddin macam agen Umno, kata Guan Eng


KUALA LUMPUR — Setiausaha Agung DAP Lim Guan Eng (gambar) hari ini melihat sikap Nasharuddin Mat Isa seolah-olah “agen Umno” kerana kenyataan yang dikeluarkan bekas Timbalan Presiden PAS itu berhubung isu hudud menurutnya berubah-ubah semenjak tidak lagi menjawat jawatan tersebut yang kini dipegang Mohamad Sabu.

Lim yang juga Ketua Menteri Pulau Pinang menegaskan, Nasharuddin ketika masih memegang jawatan berkenaan sudah maklum dan faham dengan pendirian DAP berhubung isu hudud, namun membangkitkannya kembali setelah terlepas jawatan tersebut.

“Tiada apa yang baru untuk beliau, beliau sudah faham, semasa memegang jawatan timbalan presiden PAS dan tiada masalah dengan DAP.

“Kenapa sekarang sejak tidak lagi memegang jawatan itu, saya jadi agak pelik kenapa beliau membangkitkan soalan itu (hudud),” kata Lim kepada pemberita ketika ditemui sejurus tamat persidangan Parlimen hari ini.

Jelas Lim, Nasharuddin juga seharusnya bertanyakan soalan yang sama kepada pemimpin Umno.

“Mungkin beliau boleh tanya soalan ini kepada Umno, apakah pendirian mereka tentang hudud ini,” tegas Lim lagi.

Nasharuddin awal hari ini menggesa Lim supaya segera meminta maaf secara terbuka kepada Mursyidul Am PAS Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat kerana mengeluarkan pendirian menolak pelaksanaan hukum hudud di negara ini.

Beliau berkata, ahli Parlimen Bagan itu juga perlu segera menarik balik kenyataannya kerana ia dilihat bercanggah dengan Nik Aziz yang sebelum menegaskan ‘hudud satu kewajipan bukan pilihan’.

“Atas semangat Pakatan Rakyat (PR) seperti mana yang disebut, Lim Guan Eng perlu minta maaf kerana bagi PAS pendirian Tok Guru (Nik Aziz) perlu dihormati,” katanya dalam sidang media di Parlimen hari ini.

Walaupun sedar hudud tidak termasuk dalam polisi PR, ahli parlimen Bachok itu menegaskan kenyataan itu adalah satu campur tangan dalam asas perjuangan sesuatu organisasi.

“Kami hormati perbezaan pandangan, agama dan kepercayaan lain tapi isu sekarang ialah dia (Lim) secara konsisten mengeluarkan kenyataan yang bertentangan dengan prinsip dan perjuangan asas PAS.

“Apa yang saya pertahankan ialah pendirian yang dimainkan oleh Lim dan Karpal yang secara konsisten menyerang isu keagamaan, saya sekadar nak pastikan semangat dalam Pakatan tidak rosak,” katanya merujuk kepada Pengerusi DAP, Karpal Singh.

Nasharuddin juga menegaskan tidak gentar sekiranya menghadapi tindakan daripada pemimpin tertinggi PR kerana berpegang kepada prinsip yang diperjuangkannya.

“Ini bukan isu dipecat ataupun tidak, ia hanya persoalan saya menyatakan pandangan dan kepercayaan saya,” katanya lagi.

Semalam, akhbar Umno, Utusan Malaysia melaporkan Lim mengambil pendirian sama dengan Karpal Singh dan Penasihat DAP Lim Kit Siang menolak hudud atas alasan itu bukan dasar Pakatan Rakyat.
Bagaimanapun, Lim menyalahkan pihak media dengan mendakwa kemelut antara DAP dan PAS dalam isu berkenaan sengaja disensasikan.

“Dalam pakatan pembangkang, mana-mana parti boleh mempunyai pandangan yang berbeza tetapi hudud tidak berbangkit langsung sebagai dasar kita dan perkara itu jelas,” katanya dipetik dari Utusan Malaysia.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan

Nota: Hanya ahli blog ini sahaja yang boleh mencatat ulasan.