Halaman

Rabu, 26 September 2012

‘Pahang yang akan rugi RM60 juta’

 
Ahli parlimen Kuantan Fuziah Salleh dari PKR menyatakan negeri Pahang akan turut berhutang lebih RM 2 bilion sekiranya membatalkan perjanjian air mentah dengan Selangor. 



PETALING JAYA: Ahli Parlimen Kuantan Fuziah Salleh dari PKR mendakwa Pahang akan kerugian sebanyak RM 60 juta sekiranya perjanjian air dengan Selangor dibatalkan.

“Dengan membatalkan perjanjian membekalkan air mentah tersebut, Menteri Besar Pahang Datuk Seri Adnan Yaakob akan menyebabkan rakyat Pahang kerugian pendapatan berjumlah RM60 juta setahun.

“Malah mungkin juga negeri Pahang perlu membayar penalti di atas pembatalan perjanjian tersebut.

Didalam keadaan negeri Pahang berhutang lebih RM2 billion kepada kerajaan pusat, keputusan ini akan menambah beban kewangan negeri Pahang.

“Sebaliknya Selangor lebih untung kerana tidak akan terbeban membeli air mentah dari Pahang yang tidak diperlukan.

“Sebaliknya sekiranya pihak negeri Selangor yang membatalkan perjanjian maka Pahang mungkin boleh menuntut ganti rugi,” kata Fuziah yang juga ialah naib presiden PKR.

Beliau berkata demikian dalam satu kenyataan media hari ini ketika mengulas kenyataan Adnan yang dilaporkan dalam media semalam.

Adnan mahu mengkaji semula perjanjian air yang dimeterai ketika era bekas Menteri Besar Dr Mohd Khir Toyo sekiranya kerajaan Selangor di bawah Pakatan Rakyat enggan memberi laluan kepada projek empangan Langat 2 untuk memastikan kelangsungan bekalan air di Lembah Kelang.

Kaji atau batal?


“Kami mahu mengkaji semula dan mungkin memilih untuk membatalkan perjanjian kerana kerajaan Selangor tidak berminat dengan perjanjian tersebut.

“Pada peringkat awal kami bersetuju menjual air mentah kepada Selangor pada harga 10 sen per meter padu tapi sekiranya Pakatan mempertahankan negeri tersebut di dalam pilihan raya akan datang, kita akan kaji semula.

“Harga yang dipersetujui Selangor ialah ketika negeri tersebut di bawah Barisan Nasional,” kata Adnan.

Beliau  menambah, Pahang  ingin menjual air kepada Selangor pada harga RM 1 bagi satu meter padu seperti dinyatakan dalam sidang akhbar di dataran Bentong yang turut dihadiri Menteri Kesihatan Liow Tiong Lai dan Timbalan Pengerusi BN Selangor Datuk Noh Omar yang juga adalah Menteri Pertanian dan Industri Asas Tani.

Fuziah juga menempelak Adnan kerana terlepas pandang isu sebenar di Selangor.

“Menteri Besar Pahang juga tersilap pandang dengan menganggap bahawa Selangor kekurangan air
mentah. Yang sebenarnya Selangor mempunyai cukup air mentah. Yang kurang di Selangor ialah air terawat, dan bukannya air mentah,” kata beliau.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan

Nota: Hanya ahli blog ini sahaja yang boleh mencatat ulasan.