HALAMAN SANTAI

Khamis, 27 September 2012

PRK: Gantung keputusan, bentuk jawatankuasa bebas

Harakahdaily,
 
KUALA LUMPUR: Dewan Pemuda PAS Malaysia (DPPM) mendesak supaya semua keputusan Pilihanraya Kampus (PRK) di kampus-kampus yang mahasiswanya mempertikaikan proses perjalanan pilihanraya digantung buat sementara dan sebuah jawatankuasa bebas ditubuhkan.

Sehubungan itu, DPPM merakamkan rasa kesal terhadap kekecohan yang berlaku di dalam PRK sesi 2012/2013 yang berlaku kelmarin khususnya di Universiti Malaya, Universiti Islam Antarabangsa Malaysia dan Universiti Kebangsaan Malaysia.

Ketuanya, Nasrudin Hassan menyatakan demikian ekoran Pilihan raya Kampus yang berlangsung kelmarin telah menyaksikan penyelewengan dan penindasan ke atas hak demokrasi mahasiswa.

Katanya, kekecohan, bantahan dan pengundian semula yang berlaku ini berpunca dari pengendalian PRK oleh pihak Hal Ehwal Pelajar yang memang sejak dari dulu lagi dipertikaikan kewibawaan dan keberkecualiannya dilihat mengambil sikap memihak kepada kumpulan pelajar tertentu terutamanya dari kumpulan Pro Aspirasi.

DPPM, ujarnya buat kesekian kalinya ingin menegaskan bahawa soal pemilihan kepimpinan mahasiswa seharusnya ditentukan sendiri oleh mereka secara bebas dan terbuka tanpa campurtangan pihak yang berkepentingan.

Beliau berkata, budaya mengugut dan memaksa mahasiswa untuk hanya mengundi sesuatu kumpulan adalah pencabulan terhadap kedudukan mahasiswa selain dari mencabul hak asasi mereka.

Begitu juga, katanya sikap memihak yang amat ketara yang ditunjukkan oleh kebanyakan pentadbir universiti samada daripada HEP atau pentadbir Kolej Kediaman yang menyokong kumpulan pro Aspirasi hingga hanya kumpulan tersebut diberi ruang yang luas untuk berkempen dan mendekati pelajar dan pada masa yang sama menafikan hak tersebut kepada kumpulan pro Mahasiswa.

“DPPM mendesak supaya semua keputusan PRK di kampus-kampus yang mahasiswanya mempertikaikan proses perjalanan pilihanrayanya digantung buat sementara dan sebuah jawatankuasa bebas ditubuhkan oleh kerajaan untuk menyiasat segala aduan ketidakadilan dan penipuan yang berlaku dalam PRK sesi ini,” ujarnya dalam satu kenyataan.

Di samping itu, katanya para mahasiswa yang bertanding hendaklah diberi hak sama rata untuk berkempen serta melantik agen-agen mereka bagi memantau dan mengikuti dari dekat proses pembuangan undi dan pengiraan undi.


Selain itu, ujar beliau aturan dan peraturan perjalanan pilihanraya hendaklah diperkemaskan dan digubal selaras dengan standard universal perjalanan pilihanraya yang adil dan telus.


“Para pegawai universiti, pengetua-pengetua kolej kediaman, felo-felo dan juga para dekan dan pensyarah dilarang sama sekali menggunakan pengaruh dan kedudukan mereka untuk memaksa para mahasiswa menyokong mana-mana calon yang bertanding.


“Pemantau pilihanraya dari luar seperti dari Suhakam dan Majlis Peguam hendaklah dibenarkan untuk memantau seluruh perjalanan PRK.


Tambahnya, DPPM juga mendesak supaya menolak perlaksanaan kaedah pengundian secara online (e-voting) kerana system tersebut membukan ruang kepada penyelewengan lantaran pulak system tersebut sudah tentu dikawal oleh Bahagian Hal Ehwal Pelajar (HEP).

Selain itu, juga, katanya pengendaliaan PRK di kampus-kampus tidak diletakkan secara eksklusif pengendaliannya di bawah HEP, tetapi di bawah satu Suruhanjaya Pilihanraya Kampus yang dilantik oleh Senat Universiti.

Tiada ulasan: