HALAMAN SANTAI

Sabtu, 29 September 2012

Pro-Aspirasi, Pro-Mahasiswa dakwa menang di UM

RAZIATUL HANUM A. RAJAK

Pilihan Raya Kampus.
Pilihan Raya Kampus.

SHAH ALAM - Kumpulan Pro-Aspirasi dan Pro-Mahasiswa di Universiti Malaya (UM) masing-masing mendakwa kemenangan berpihak kepada mereka dalam pilihan raya kampus susulan pengundian semula di dua kerusi Majlis Perwakilan Mahasiswa (MPP) semalam.

Keputusan rasmi dua kerusi, yang pengundiannya diadakan kerana jumlah undi yang diperoleh sama Selasa, diumumkan petang semalam.

UM merupakan antara pusat pengajian tinggi menyaksikan saingan sengit antara kumpulan Pro-Aspirasi dan Pro-Mahasiswa.

Pengerusi Pro-Aspirasi, Marwan Kahar Baharuddin berkata, Penggerak Mahasiswa memenangi pilihan raya kampus UM dengan menguasai 22 kerusi berbanding Pro-Mahasiswa 21 kerusi.

"Calon kami menang di kawasan Fakulti Sains Komputer dan Teknologi Maklumat iaitu Neo Yew Boon dengan perbezaan undi melebihi 30 undi (dalam pengundian semula semalam).

"Undi di Fakulti Pendidikan agak sengit apabila calon kami tewas dengan hanya tujuh undi berbanding calon Pro-Mahasiswa," kata beliau ketika dihubungi Sinar Harian Online, lewat petang semalam.

Beliau mendakwa dua calon bebas yang memenangi pilihan raya kampus Selasa lalu berpihak kepada Pro-Aspirasi.

"Sebelum ini kami memenangi 19 kerusi dan hari ini berjaya tawan satu kerusi. Termasuk dua kerusi bebas itu, menjadikan kami memenangi 22 kerusi," katanya.

Sementara itu, Presiden Persatuan Mahasiswa Islam UM, Syis Abd Kadir ketika dihubungi pula mendakwa kemenangan milik Pro-Mahasiswa selepas mereka memenangi 21 kerusi dan Pro-Aspirasi hanya memenangi 20 kerusi manakala baki lagi dua kerusi milik bebas.

"Kami menang di UM dengan beza satu kerusi dan dua kerusi lagi milik Bebas dari Fakulti Undang-undang," katanya sambil menambah wakil bebas masih kekal bebas dan tidak menyatakan sokongan kepada sesiapa.

Bagaimanapun tafsiran dan pengakuan itu tidak akan menjejaskan 'Kabinet' MPP secara formal sebab universiti tidak mengiktiraf kumpulan Pro-Aspirasi dan Pro-Mahasiswa.

UM selesai mengadakan pengundian semula bagi kawasan fakulti jam 12 tengah hari semalam melibatkan dua kerusi di Fakulti Pendidikan dan Fakulti Sains Komputer dan Teknologi Maklumat.

UM memperuntukkan 43 kerusi bagi MPM dan pengundian dijalankan menggunakan sistem e-undi.

Selasa lalu, UM mengumumkan keputusan sementara pengundian di mana Pro-Mahasiswa memenangi 20 kerusi manakala kumpulan Pro-Aspirasi meraih 19 kerusi  dan dua kerusi dimenangi calon bebas serta baki dua kerusi lagi mendapat undi yang sama.

Tiada ulasan: