Oleh: Mohd Arif Juhani
KUALA LUMPUR : Aktivis Mahasiswa, KS Bawani berkata, beliau tidak
pernah mendesak Pengerusi Suara Wanita 1Malaysia, Sharifah Zohra Jabeen
memohon maaf ekoran insiden yang tercetus semasa forum yang diadakan di
Universiti Utara Malaysia (UUM).
Sebaliknya, katanya, perkara paling utama cuba disampaikan adalah kebebasan mahasiswa dan pendidikan percuma.
“Tuntutan maaf bukan isu utama yang saya bawa, tetapi saya tetap
fokus dengan isu kebebasan mahasiswa untuk bersuara, autonomi universiti
dan paling penting isu pendidikan percuma.
“Jangan lupa video itu juga menunjukkan bagaimana mahasiswa didoktrin
dengan agenda Umno BN dan dihasut membenci Pakatan Rakyat seperti
kandungan bacaan ikrar,” katanya dalam sidang media di Dewan Himpunan
Cina Kuala Lumpur Selangor, hari ini.
Pelajar tahun dua jurusan undang-undang dari UUM itu menjelaskan beliau tidak mencemarkan nama baik universiti seperti didakwa.
“NC (Naib Canselor) UUM kata saya mencemarkan nama baik UUM kerana
mendakwa mahasiswa dipaksa hadir ke forum itu dan tiada kebebasan
berpendapat.
“Bukan saya yang muatnaik video itu tetapi saluran TvMyMahasiswa
milik UUM dan SW1M. Jadi kenapa saya pula dituduh merosakkan nama
universiti?,” katanya yang setuju jika video asal forum berkenaan
dimuatnaik di internet sepenuhnya.
“Apa yang saya suarakan merupakan tanggungjawab mahasiswa untuk
memberi pendapat dan membawa kebenaran,” jelas beliau yang juga pengasas
Gerakan Menuntut Pendidikan Percuma (GMPP).
Katanya, beliau secara sukarela hadir forum itu, namun terdapat
pelajar tahun satu diwajibkan menyertai program berkenaan. Perkara itu
katanya, turut dinyatakan pelajar berkenaan dalam laman Facebook
Uumkini.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan